BANGI – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu isteri pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi, 33, membabitkan wang berjumlah RM105,380 antara Disember tahun lalu hingga Januari tahun ini.
Tertuduh, Nursyafiqah Hermansah atau dikenali sebagai ‘Ika’, didakwa melakukan perbuatan itu pada 22 Disember 2024, sekitar pukul 6.06 petang sehingga 14 Januari 2025, kira-kira pukul 1.24 petang di Petronas Bangi Gateway, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.
Pertuduhan telah dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi di Mahkamah Majistret Bangi, di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, wanita berusia 28 tahun itu didakwa memperdaya Afreena untuk membayar wang tersebut bagi menjamin keluar suaminya dan menurunkan seksyen pertuduhan terhadap lelaki itu.
Akibat diperdaya, Afreena dikatakan telah membuat 26 transaksi ke lima akaun berbeza berjumlah RM105,380.
Pertuduhan telah dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Anis Farhah Ahmad Hilmi telah menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.
Tetapi peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Kim Kiek yang mewakili Nursyafiqah memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan.
Katanya, tertuduh hanya bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan RM1,000 dan mempunyai tiga anak berusia tiga, lima dan lapan tahun.
Nurdiyanah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes dan lantikam peguam semula pada 21 Mac ini. – MalaysiaGazette