PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa seorang tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Kompleks Penjara Sungai Buloh dipukul.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara ini turut mendapat perhatian pihak berkuasa apabila isteri tahanan tersebut membuat laporan polis.
Justeru itu, Saifuddin Nasution berkata beliau telah menghubungi Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad dan berdasarkan kepada laporan yang diterima menunjukkan bahawa kejadian memukul itu tidak berlaku.
“Namun, jika isteri tahanan mendakwa ada kejadian itu, dan sudah membuat laporan polis, tiada apa yang perlu disembunyikan.
“Jika ada laporan, polis akan menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara (AIPN) di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), petang tadi.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF13022025_SAIFUDDIN-NASUTION-DI-JPN-PUTRAJAYA-63.jpeg)
Awal hari ini, isteri kepada seorang tahanan yang ditahan di bawah SOSMA di Kompleks Penjara Sungai Buloh telah membuat laporan polis mendakwa suaminya telah dipukul.
Pengadu mendakwa dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Buloh pada pukul 9.15 malam semalam, suaminya telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak berdaya, dipercayai akibat diserang.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata pihaknya menerima laporan tersebut dan laporan tersebut hanya menyebut aktiviti mogok lapar yang diadakan di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh.
“Apa yang sebenarnya berlaku ialah mogok lapar oleh tahanan tersebut selama beberapa hari, menyebabkan mereka menjadi lemah secara fizikal. Ketika dibawa ke hospital, mereka terpaksa menggunakan kerusi roda.
“Mogok juga dilakukan oleh keluarga di luar dan itu juga apabila melibatkan kertas siasatan tadi, saya telah pun memberikan laporan penuh kepada Perdana Menteri dan disebut dalam Parlimen terhadap kertas siasatan itu pun semuanya kita NFA (Tiada tindakan lanjut),” katanya lagi.
Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu yang terlibat dalam himpunan mogok lapar ahli keluarga banduan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh pada Sabtu.
Malah semakan mendapati himpunan berkenaan diadakan jam 8.10 pagi. – MalaysiaGazette