Chian Tee Seong didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Lelaki yang tular maki hamun anggota polis ketika Op Bersepadu Sempena Tahun Baharu Cina (TBC) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap penjawat awam pada Isnin lalu.

Tertuduh, Chian Tee Seong, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Hokkien dihadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap Koperal Ahmad Azraiz Bokhori, 37, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk menganggu keamanan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lorong motosikal menghala Jambatan Pulau Pinang dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 10 malam pada 10 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), V. Pushpa.

Ketika prosiding Nor Shakila memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran namun Pushpa meminta denda minima atas alasan tertuduh menyesal dan memohon maaf atas insiden yang berlaku.

Selain itu, Pushpa turut memaklumkan tertuduh yang merupakan pekerja pengurusan pengembumian itu perlu menyara isteri serta ibunya yang uzur dengan pendapatan bulanan RM2,000.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan memberikan dadah kepada dirinya.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM100 dan jika gagal bayar penjara selama tujuh hari.

Sementara itu, di mahkamah sama tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberikan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine kepada dirinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada 28 Ogos 2023 dan 10 Februari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 14 April depan sebagai sebutan semula kes bagi laporan patologi serta lantikan peguam.

Media pada Isnin lalu melaporkan tindakan lelaki memaki hamun penguat kuasa dengan kata-kata kesat bawa padah apabila dia ditahan polis kerana menghalang tugas penjawat awam.

lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang menunggang motosikal dengan membonceng teman wanitanya warga Indonesia telah diperiksa anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) jam 10 malam sebelum didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.

Bagi kesalahan berkenaan, dia diminta untuk meninggalkan motosikalnya kerana tindakan penyitaan telah diambil, namun dia tidak berpuas hati sebelum mengeluarkan kata-kata kesat serta melakukan provokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here