JOHOR BAHRU – Projek Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar bersebelahan Stesen RTS Link akan dibangunkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Sunway Integrated Properties Berhad.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif pembangunan semula bandar berasaskan transit itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM2.6 bilion.

“Projek ini bakal menjadi model bagi inisiatif pembangunan semula bandar berasaskan transit di seluruh negara.

“Projek ini dibangunkan menerusi gabungan komponen perumahan, komersial, pusat beli-belah, hospitaliti dan kesihatan, pembangunan seluas 1.712 hektar ini akan mewujudkan satu ekosistem bandar yang berdaya sendiri.

“Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan parkir bertingkat, di mana sebanyak 1,550 tempat letak kereta dan 1,015 tempat letak motosikal akan disediakan bagi menyokong kelancaran perjalanan penumpang RTS Link.

“Ini adalah tambahan kepada kemudahan parkir di Coronation Square, yang menyediakan sebanyak 700 tempat letak kenderaan khusus untuk penumpang RTS Link, terletak kira-kira 400 meter dari Bukit Chagar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama bagi Pembangunan Hartanah Bersepadu Bukit Chagar antara MRT Corp dan Sunway Integrated Properties Berhad, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kesemua kemudahan yang dibina menerusi Pembangunan Hartanah Bersepadu Bukit Chagar, adalah untuk melengkapkan infrastruktur perkhidmatan RTS Link

Katanya, ini akan direka bentuk dengan teliti untuk memastikan penumpang RTS Link dapat menikmati pengalaman perjalanan yang lancar dari Malaysia ke Singapura, dan sebaliknya.

“Impak projek pembangunan bersepadu ini bukan sahaja terbatas di Bukit Chagar, tetapi turut membawa kesan yang jauh lebih mendalam kepada kemajuan Johor secara keseluruhan.

“Gabungan beberapa projek utama yang kini berlangsung di Johor Bahru meletakkan Johor di landasan kukuh untuk muncul sebagai salah satu negeri paling maju di Malaysia, didorong oleh inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.

Apabila perkhidmatan RTS Link bermula pada Disember 2026 kelak katanya, aliran penumpang yang semakin meningkat akan secara tidak langsung turut meningkatkan pergerakan trafik keluar masuk bandaraya ini.

Bagi menangani isu berkenaan katanya, kerajaan telah membuat komitmen pelaburan melebihi RM200 juta bagi pembangunan trafik bersepadu.

“Ia akan membabitkan jalan-jalan utama seperti Jalan Tebrau dan Jalan Tun Razak, yang akan dinaik taraf dengan pembinaan jejambat bertingkat (elevated flyover), membolehkan sambungan langsung ke Kompleks CIQ di Bukit Chagar, dengan ia sedang dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, kerjasama antara MRT Corp dan Sunway Berhad menjadi bukti bagaimana sektor awam dan swasta boleh berganding bahu dalam membangunkan infrastruktur bertaraf dunia tanpa membebankan kewangan rakyat.

“Melalui pelaksanaan model Rail Plus Property oleh MRT Corp, Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar bakal menjadi blueprint bagi masa depan pembangunan bandar di Malaysia, menunjukkan bagaimana infrastruktur pengangkutan boleh dimanfaatkan untuk mewujudkan komuniti yang lebih mampan dan inklusif,” katanya.

Anthony berkata perjanjian pembangunan bersepadu yang disempurnakan ini turut membuka lembaran baharu dalam pembangunan bandar yang mengangkat infrastruktur pengangkutan sebagai pemangkin utama dalam pembangunan semula bandar, pemulihan ekonomi, dan kemajuan sosial yang inklusif.

“Kita dapat lihat bagaimana bandar di serata dunia berjaya menjalani proses pembangunan semula bandar, dengan memanfaatkan hab pengangkutan sebagai pemacu utama pertumbuhan dan kemajuan.

“Dari King’s Cross di London hingga Lohas Park di Hong Kong, kawasan yang dahulunya terpinggir kini berkembang menjadi pusat bandar yang moden, dinamik dan berdaya saing dan Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar adalah manifestasi kepada visi berkenaan,” katanya.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Anthony Loke (tengah kanan) menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Integrated Properties Sdn Bhd, Chong Sau Min pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Bagi Pembangunan Hartanah di Bukit Cagar, Johor Bahru hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here