Seorang lelaki maut selepas motosikal kuasa tinggi ditunggangnya terlibat kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Penawar, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Seorang pemuda maut selepas motosikal kuasa tinggi ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 43.1 Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Penawar dekat sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penguasa Bomba Kanan I Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 7.33 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 22 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati sebuah motosikal berkuasa tinggi telah musnah 90 peratus akibat perlanggaran dengan sebuah kereta Proton Exora.

“Mangsa, Aiman Murstid Muhsin berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Pemandu Proton Exora pula, Yusri Ahmad Darin, 54, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.17 pagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here