GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal maut selepas 18 jam bertarung nyawa di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, akibat kecederaan parah terlibat dalam nahas membabitkan sebuah kereta di Jalan Tetembok, Jalan Masjid Negeri di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pemuda berusia 21 tahun itu dilaporkan meninggal dunia jam 1.10 pagi tadi ketika menerima rawatan di HPP.
Mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi pada jam 7.30 pagi semalam.
“Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan kereta yang datang dari arah bertentangan.
“Impak kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami cedera parah dan dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.
“Pemandu kereta, wanita berusia 46 tahun tidak mengalami kecederaan namun penumpang kanak-kanak berumur 11 tahun cedera di bahagian tangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 16 saat memaparkan seorang penunggang motosikal hilang kawalan ketika melalui selekoh di laluan terowong sebelum bertembung dengan sebuah kereta di laluan bertentangan.
Difahamkan, motosikal tidak dibenarkan menggunakan laluan tetembok tersebut. – MalaysiaGazette