Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Kadir menyaksikan penyerahan Dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) Dasar Akses Terbuka di Antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan 20 Universiti Awam pada Majlis Malam Anugerah Malaysia Research Star Award (MRSA) di Putrajaya Marriott Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 13 FEBRUARI 2025.

PUTRAJAYA – Golongan penyelidik di institut pengajian tinggi (IPT) disaran berkongsi kajian penyelidikan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing untuk dimanfaatkan dalam dunia akademik pada hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkongsian ilmu itu sangat penting bagi menghasilkan hasil penyelidikan yang lebih hebat bukan hanya untuk universiti tetapi juga untuk negara.

“Kolaborasi bersama kita dan inilah yang kita cuba untuk buka dari segi hubungan kita ini jangan terlalu tertutup dari segi pendekatan bersama kita atau masing-masing hendak menjaga universiti dia dan merasakan bahawa universitinya lebih baik.

“Dari konsep perkongsian ilmu itu tidak berlaku sedangkan apa yang sedang kita wawarkan kepada dunia akademik pada hari ini supaya perkongsian pengetahuan itu adalah suatu yang sangat mustahak kerana dunia pada hari ini suka atau tidak dari segi kepakaran mungkin ada di sini, kepakaran yang ada di sana pun juga mempunyai disiplin yang sama.

“Bayangkan kalau kedua-duanya dapat berkongsi kepakaran itu dia akan tentunya menghasilkan sesuatu yang lebih hebat bukan hanya untuk universiti tetapi juga untuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Anugerah Malaysia Research Star Award (MRSA) 2025 di sini malam ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Kadir ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Malaysia Research Star Award (MRSA) di Putrajaya Marriott Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 13 FEBRUARI 2025.

Mengulas lanjut, Zambry turut berharap dunia penyelidikan negara dapat keluar daripada budaya negatif di universiti yang berantakan sesama sendiri.

Sebagai contoh katanya, penyebaran surat layang dan Whatsapp layang yang akan mematikan tradisi akademik universiti selain membuatkan masyarakat memandang rendah dengan dunia universiti.

“Bualan universiti di kalangan masyarakat terkait dengan cerita surat orang ini terima surat orang itu dan terima surat daripada universiti. Satu universiti sebagai contoh, satu orang hantar ini, yang ini hantar itu dan saya mohon kepada tuan-tuan dan puan-puan amat malang apabila dunia akademik kita terjerumus dan terpenjara dalam soal egini sehinggakan meruntuhkan peradaban keilmuan yang menjadi asas kepada universiti itu.

“Saya harap kita hentikanlah perkara seperti ini kerana kita faham dunia universiti ini mempunyai masyarakatnya yang hebat-hebat dan memiliki pemikiran yang sangat hebat dari segi perbezaan biasa dan itulah namanya universiti,” katanya.

Sementara itu, MRSA 2025 dianjurkan untuk memberikan pengiktirafan kepada para penyelidik atas komitmen mereka dalam menghasilkan penerbitan berkualiti dan berimpak tinggi.

MRSA telah diperkenalkan sejak tahun 2012 dengan kerjasama rakan strategik, Clarivate Analytics yang bertanggungjawab dalam proses penilaian bagi menentukan pemenang.

Anugerah ini diberikan kepada penyelidik dan jurnal tempatan yang menghasilkan penerbitan berkualiti serta memberi manfaat kepada pembangunan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Kadir menyampaikan anugerah pada Majlis Malam Anugerah Malaysia Research Star Award (MRSA) di Putrajaya Marriott Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 13 FEBRUARI 2025.

Pada majlis ini, sebanyak 26 anugerah disampaikan dari 4 kategori anugerah utama antaranya, Frontier Researcher, Outstanding Research in Phytochemicals, Researcher Cluster dan Kategori Journal.

Majlis ini bakal memberi inspirasi kepada warga penyelidik IPT dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta dapat memacu lebih banyak penerbitan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada negara dan masyarakat global.

Pada majlis sama turut diadakan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Universiti Awam Malaysia.

Kesemua 20 Universiti Awam (UA) akan melaksanakan inisiatif ini dengan tujuan mewujudkan ekosistem perkongsian sumber ilmiah dalam kalangan penyelidik, pelajar, dan masyarakat, sekali gus meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai pusat ilmu bertaraf antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here