KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki 14 tahun maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya akibat kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, Subang jaya, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira 9 pagi.
“Remaja lelaki terlibat meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Cyberjaya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, mangsa yang maut itu adalah penumpang di tempat duduk hadapan Nissan Serena dan kemudiannya dirempuh Toyota Vios dari bahagian kiri.
“Hasil siasatan awal mendapati, MPV Nissan Serena yang dipandu lelaki Melayu berumur 50 tahun bersama penumpang hadapan yang dari Jalan Persiaran Putra Perdana menghala ke arah Shah Alam.
“Sedang Nissan Serena bergerak lurus semasa lampu isyarat berwarna hijau, datang Toyota Vios dipandu lelaki Cina berumur 77 tahun datang dari arah Jalan Putra Permai menghala ke Putra Height melanggar bahagian kiri MPV terbabit,” katanya.
Selain itu, katanya, remaja terbabit merupakan anak kepada pemandu Nissan Serena mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia.
“Manakala pemandu Nissan Serena Dan Toyota Vios mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Katanya lagi, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan berlaku.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Boleh hubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495,” katanya lagi. – MalaysiaGazette