Mayat seorang wanita dan empat anaknya yang rentung di Kampung Berangan Enam, Umbai, Merlimau di sini, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

JASIN – “Kira-kira jam 1.30 pagi, saya terdengar jiran sebelah rumah menjerit meminta isteri dan dan anak-anaknya lari dari rumah yang sudah terbakar namun gagal kerana semua pintu dan tingkap jeriji berkunci”.

Itu diceritakan saksi kebakaran, Abdul Kahar Ahmad, 70, yang menyebabkan seorang wanita dan empat anaknya rentung di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Menurutnya, ketika itu jam 1.32 pagi dia dan isterinya sedang berada didapur dan terkejut apabila mendengar bunyi kecoh itu.

Abdul Kahar Ahmad

“Bila saya jenguk, saya lihat api sudah marak dari bumbung dan tingkap rumah diikuti suara jiran lelaki berusia 35 tahun menjerit mengarahkan isteri dan empat anaknya keluar menyelamatkan diri.

“Anak lelaki saya kemudian terus menghubungi bomba dan saya terus berlari keluar dari rumah kerana bimbang api merebak sementara anak menyelamatkan suami mangsa yang cedera selepas terjun dari tingkap,” katanya ketika ditemui pemberita.

Mengulas lanjut, warga emas itu berkata, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak terlalu cepat dan semua pintu serta tingkap jeriji rumah terkunci.

“Saya tak sangka kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan wanita berusia 30-an dan empat anaknya berusia 13 hingga 2 tahun maut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, lima beranak itu disahkan maut dilokasi kejadian manakala bapa mereka berusia 30-an terselamat dan dikejarkan ke Hospital Jasin.

Mohamad Rusli Mat

Beliau berkata dalam kejadian itu, wanita berusia 35 tahun ditemui di bahagian serambi rumah manakala empat anaknya berusia 2,7, 12 dan 13 tahun bergelimpangan berhampiran pintu rumah dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri.

“Siasatan lanjut turut mendapati semua jeriji besi pintu rumah dalam keadaan berkunci namun kejadian tidak melibatkan kediaman lain bersebelahan.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here