KUALA LUMPUR – Malaysia tidak memerlukan pelantikan Menteri Bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam kerana peruntukan Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama rasmi negara ini.
Meskipun begitu, Perlembagaan telah memberi jaminan kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), bahkan tiada pengabaian kepada kebajikan bukan Islam di Malaysia. Bahkan pendidikan dan kebajikan agama lain amat terjaga.
Amalan pentadbiran agama bukan Islam di negara ini juga adalah tersusun dan kerajaan sentiasa mengambil berat hal ehwal agama selain Islam, selain itu, tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.
Oleh itu, Pakar Perlembagaan negara, Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz menegaskan, beliau menolak cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk melantik Menteri Bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam pada peringkat Persekutuan.
Menurutnya, pelantikan menteri yang khusus untuk agama bukan Islam boleh menimbulkan rasa kesamarataan antara agama; yang mana tiada niat Perlembagaan untuk mempunyai agama lain sama rata dengan Islam.
“Tidak pernah ada niat amalan di negara ini dan tiada niat Perlembagaan untuk tujuan pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam. Perkara ini boleh dilihat dalam dokumen sejarah Perlembagaan yang tidak pernah membincangkan hal ini berbanding kedudukan Islam. Perkara 12(2) hanya untuk penubuhan institusi Islam.
“Tiada peruntukan yang menyatakan “agama” dalam Senarai Persekutuan untuk dijadikan asas kepada pelantikan menteri yang dimaksudkan. Oleh itu, agama adalah berada pada kuasa negeri kerana perkara baki (risidual – iaitu perkara yang tidak dinyata dalam Senarai Perundangan) adalah di bawah kuasa negeri. Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan.
“Hal ini berbeza dengan Islam, yang mempunyai struktur pentadbiran jelas melalui Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan menurut undang-undang negeri. Maka Perlembagaan tidak membenarkan urusan agama bukan Islam dibuat dengan pelantikan menteri khusus,” jelas Shamrahayu dalam hantaran di Facebook.
Meskipun begitu, katanya, pentadbiran negara ini tidak pernah mengenepikan urusan orang atau agama bukan Islam kerana terdapat kementerian dan jawatankuasa yang menjaga hak kepentingan orang bukan Islam, iaitu Kementerian Perpaduaan dan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum. Kebajikan pendidikan juga tidak diabaikan oleh kerajaan.
Untuk kebajikan lain, ia boleh diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan, seperti hal berkaitan penubuhan rumah-rumah untuk melaksanakan ritual agama mereka.
Beliau juga menegaskan sekiranya ada Menteri untuk Hal Ehwal Agama Bukan Islam, ia boleh menimbulkan perbezaan dalam kalangan agama-agama.
Lagipun, fungsi ini dilaksanakan oleh Menteri Perpaduan, hahkan, pada ketika ini kerjasama Menteri Perpaduan dan Menteri Hal Ehwal Agama Islam berjalan baik.
Shamrahayu menambah, tidak mudah untuk mengurus agama selain Islam oleh seorang menteri kerana terdapat banyak agama bukan Islam.
Keadaan ini boleh membuka ruang kepada ketegangan antara agama-agam lain dan pecahan dalam agama-agama tersebut.
“Agama bukan Islam di Malaysia terdiri daripada pelbagai kepercayaan (Hindu, Buddha, Kristian, Sikh, dan lain-lain.). Menteri tersebut perlu mewakili semua agama secara saksama dan ini sukar dilaksanakan.
“Jawatankuasa Hubungan dan Persatuan Agama yang selama ini diiktiraf oleh kerajaan dilihat lebih mampu mengendalikan urusan orang bukan Islam berbanding mempunyai hanya seorang Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam. Pengurusan dan Keurusetiaan Jawatankuasa ini sedang diuruskan atau dikendalikan oleh Menteri Perpaduan Negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette