KUALA LUMPUR – Tiada keperluan mendesak untuk mewujudkan portfolio bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, ini kerana kebebasan beragama telah lama terjamin di negara ini.
“Majoriti rakyat Malaysia beragama Islam dan selama ini urusan agama Islam telah diurus dengan baik tanpa menjejaskan kebebasan beragama penganut agama lain,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu satu untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.
Anil yang juga Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Sabah berkata, cadangan itu amat sensitif memandangkan Islam merupakan Agama Persekutuan di negara ini.
“Bahkan, kerajaan negeri tertentu mempunyai portfolio hal ehwal bukan Islam dan berfungsi mengikut skop negeri masing-masing, berbeza dengan pentadbiran agama Islam yang mempunyai kedudukan istimewa di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan jika cadangan itu diangkat, kelak ia hanya menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran dan membuka ruang kepada ketidakstabilan sosial jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati.
“Perpaduan sedia ada harus terus diperkukuhkan melalui dialog antara agama dan bukannya dengan pemisahan portfolio menteri yang boleh membawa kepada salah faham dalam pengurusan agama di Malaysia.
“Peranan menteri sedia ada sudah cukup inklusif dalam memastikan semua pihak dapat mengamalkan agama masing-masing dengan harmoni,” katanya.
Katanya lagi, sebarang perubahan terhadap struktur kementerian yang melibatkan urusan agama harus diteliti secara mendalam agar tidak menggugat keharmonian.
“Saya menyeru agar semua pihak menghormati sensitiviti agama di negara ini dan tidak membangkitkan isu-isu yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette