KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan tiada perjanjian atau kerjasama rasmi antara Malaysia dengan Kerajaan Taliban di Afghanistan, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.
Menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan Malaysia juga belum mengiktiraf Pihak Berkuasa De Facto Afghanistan (PBDFA).
“Lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Malaysia pada tahun lalu bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem pendidikan di negara ini.
“Ini kerana Malaysia sudah lama diiktiraf sebagai salah satu negara Islam yang moden dan progresif dengan sistem pendidikan yang mampan serta inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Buntar Misbahul Munir Masduki (Perikatan Nasional) mengenai hubungan dua hala yang terjalin antara kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam bidang pendidikan.
Mengulas lanjut katanya, lawatan sebelum ini memberi peluang kepada delegasi Afghanistan memahami pendekatan dan amalan Malaysia dalam bidang pendidikan.
Jelasnya lagi, lawatan berkenaan dibiayai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang bertanggungjawab menguruskan dana yang disediakan oleh Kesatuan Eropah dalam usaha menyokong pembangunan kapasiti di Afghanistan.
Dalam pada itu, Fadhlina memberi jaminan akan terus mendapatkan khidmat nasihat daripada Kementerian Luar Negeri (KLN) berhubung kerjasama dua hala dengan mana-mana negara luar. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Guan Eng tak perlu ragui kunjungan Kementerian Pendidikan Afghanistan