Mohd Fared Mohd Khaled

JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor akan memfatwakan tujuh ajaran sesat yang didapati menyeleweng dan terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ketika ini terdapat empat ajaran tersebut belum diwartakan manakala tiga lagi akan diwartakan pada tahun ini.

Beliau memberitahu, tujuh ajaran tersebut termasuk dalam 22 ajaran yang difatwakan sesat di Johor yang dilakukan sejak 1994 antaranya ajaran Ilmu Makrifat oleh Mohd Yusof Cik Wook, Hizbut Tahrir Malaysia, ajaran Islam Ahli Sunnah Waala Ali Muhammad, ajaran Qadiani dan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light.

Jelasnya, pendekatan proaktif itu bagi mengekang dan menangani ajaran sesat melalui pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor Tahun 2014.

“Enakmen ini menetapkan tafsiran Hukum Syarak bahawa umat Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan akidah ASWJ yang bersumberkan aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah.

“Kerajaan Negeri Johor bertegas akan terus memberi komitmen dalam mengenal pasti dan menangani isu-isu berkaitan ajaran sesat tanpa kompromi. Ini merupakan satu tanggungjawab dalam memastikan akidah umat Islam di Negeri Johor terpelihara dan keharmonian masyarakat terjaga.

“Penguatkuasaan menerusi Enakmen dan tindakan perundangan akan terus dilaksanakan bagi mengekang sebarang usaha penyebaran dan pengamalan ajaran yang bersalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan Johor melalui Jabatan Mufti Johor akan menubuhkan pusat akademi Aswaja yang berperanan sebagai tempat rujukan masyarakat bagi menyampaikan perkara-perkara penyelewangan akidah dan ajaran yang tidak selari dengan pegangan akidah ASWJ aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah.

Katanya, sejumlah RM14 juta diperuntukan oleh MAINJ bagi pembinaan pusat akademi berkenaan yang terletak di mukim Pulai di sini.

Selain itu ujarnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM400,000 bagi mewujudkan Pusat Pemulihan dan Rumah Pemurniaan Syariah Islam di Jalan Dato’ Menteri di sini.

“Pusat pemulihan ini bukan sahaja diwujudkan bagi mereka yang terpesong akidahnya tetapi juga menempatkan golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina atau Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender iaitu LGBT (disabitkan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Syariah, Enakmen 26-Musahaqah) agar kembali ke fitrah asal.

“Kewujudan pusat pemulihan bagi golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina ini merupakan pertama kali diadakan di Malaysia. Pusat ini telah beroperasi sepenuhnya pada  Julai 2024,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here