JASIN – Wanita bersama empat anaknya yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini awal pagi tadi hamil anak ketujuh berusia lima bulan.
Perkara itu disahkan ibunya, Ruziha Osman, 60, yang terkejut dan tidak menyangka akan kehilangan anak sulungnya itu, Laila Fathinah Mustapa, 37, bersama empat lagi cucunya sekelip mata.
“Memang arwah mengandung lima bulan dan kali terakhir kami berjumpa malam tadi di rumahnya pun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah ceria dan bergurau seperti biasa.
“Tidak sangka kejadian ini berlaku sekelip mata selepas mereka sekeluarga terselamat dalam kemalangan di Brisu, Alor Gajah, 30 Januari lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan Hospital Jasin di sini hari ini.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan dalam kejadian 1.30 pagi tadi, Laila Fathinah bersama empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah,6 dan Izz Danish Fathi, 4 tahun rentung dalam tragedi itu.
Suami kepada Laila, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, bagaimanapun terselamat dan menerima rawatan di Hospital Jasin.
Tragedi menyayat hari itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertua Negeri Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang meluangkan masa hampir sejam menziarahi Muhammad Khairuddin.
Kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2,000 bagi meringankan beban keluarga mangsa.
Dalam kunjungan itu, Mohd Ali dan Ab Rauf turut memberi kata-kata semangat kepada Muhammad Khairuddin yang dilihat gagal mengawal emosi sepanjang hampir sejam menerima kunjungan. – MalaysiaGazette