KUALA LUMPUR – Suria FM membuat rombakan besar dalam menyusun semula program dan barisan penyampai dalam usaha memperkukuhkan kedudukan stesen radio berkenaan pada 2025.
Penyampai radio Morning Morning Suria iaitu Suraya Borhan tidak lagi bersama segmen tersebut tetapi diberi tanggungjawab mengendalikan dua segmen pada Sabtu Ahad iaitu Suria Hujung Minggu (6 hingga 10 pagi) dan Hello Suria (2 petang hingga 7 malam).
“Kekosongan ditinggalkan Suraya menerusi Segmen Morning Morning Suria akan digantikan dengan Kai Hassan bergandingan bersama Ajak dan Datuk Fizz Fairuz.
“Dalam pada itu, Cik Piah pula kekal mengendalikan segmen Gaya Suria serta Muzik Top Suria dari 10 pagi hingga 3 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat,” kata Suria FM dalam satu kenyataan.
Segmen Suria Petang yang bersiaran pada pukul 3 petang hingga 7 malam masih mengekalkan Chiwan namun gandingannya sebelum ini, Sharifah Shahirah atau Kak Rara mengumumkan pengundurannya daripada Suria FM semalam selepas tujuh tahun berkhidmat di stesen radio berkenaan.
Sementara itu, segmen Suria Cinta kendalian DJ Lin pula hanya akan bersiaran pada setiap hujung minggu berbanding setiap hari Ahad hingga Jumaat sebelum ini.
Ia susulan DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM mahu memberi fokus kepada bahagian pengurusan stesen tersebut.
“Slot Suria Cinta akan digantikan dengan penyampai radio baharu Nur Imanina Mohd Hisham atau lebih mesra dipanggil Iman dan dijangka bermula pada Mei depan.
“Segmen itu akan ke udara bermula 8 malam hingga 12 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
“Perubahan strategik ini bertujuan memastikan Suria FM terus kekal sebagai pilihan utama pendengar dengan menyajikan kandungan yang segar dan dinamik, sambil mengekalkan daya tarikannya yang tersendiri,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette