PUCHONG – Nama calon bagi mengisi jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) baharu sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan itu dijangka dimuktamad selepas beliau menziarah Sultan Ibrahim di Bahrain tidak lama lagi bagi mendapat perkenan.
“Ada calon tetapi proses seperti biasa dan akan diperkenan Yang Di-Pertuan Agong. Jadi insya-Allah bila saya dapat ke Bahrain dan ziarah Yang Di-Pertuan Agong, kita boleh dapat perkenan,” katanya.
Beliau berkata demikian media media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam, Puchong Perdana di sini hari ini.
Perdebatan mengenai kekosongan jawatan duta tersebut timbul selepas tamatnya tempoh perkhidmatan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Minggu lalu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, mencadangkan lima nama untuk dipertimbang sebagai duta Malaysia ke AS termasuk Nurul Izzah dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Calon lain ialah bekas pengerusi CIMB, Tan Sri Nazir Razak; bekas Ahli Parlimen, Yusmadi Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah.
Kian Ming dilaporkan berkata, Faiz banyak memberi input penting kepada perdana menteri mengenai dasar luar manakala Nurul Izzah adalah pembantu utama dan Tengku Zafrul membuktikan dirinya sebagai menteri yang dipercayai Anwar.
Nazir dikenali sebagai tokoh korporat berpengaruh manakala Yusmadi adalah ahli lama dalam ‘kumpulan kecil individu dipercayai’ Anwar.
Pada 8 Februari lalu, Nazri mengesahkan tempoh perkhidmatan sebagai Duta As selama dua tahun sudah berakhir.
Beliau menyatakan pelantikannya adalah secara politik dan bukan diplomat kerjaya. – MalaysiaGazette