KUALA LUMPUR – Format baharu Parlimen Belia Malaysia dan pilihan raya bagi mereka masih dalam proses untuk dimuktamadkan dan dijangka akan berlangsung November nanti.
Menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mereka yang berusia di antara 18 hingga 35 tahun boleh menyertai Parlimen Belia asalkan mendaftar sebagai pengundi dan calon.
“Kita nak keluar dari format yang pernah dibuat sebelum ini dan membuat penambahbaikan. Datuk Ketua Pengarah sedang melihat perkara ini dan akan dibawa kepada Kabinet untuk diluluskan kerana ini merupakan polisi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Bual Bicara Parlimen Malaysia dan Kementerian Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di sini hari ini.
Johari turut memberitahu format baharu ini juga hampir siap sepenuhnya.
“Kami sedang melakukan fasa akhir penyesuaian (fine-tuning) dan dijangka diselesaikan dalam tempoh sebulan hingga sebulan setengah.
“Dalam pada itu, kerja-kerja naik taraf juga sedang dilakukan di Dewan Persidangan Parlimen Belia termasuk pembaharuan sistem dan pemasangan infrastruktur baharu.
“Kita sedang buat renovasi dan kita banyak melabur untuk Parlimen Belia termasuk sistem wiring serta keseluruhan sistem di dalam dewan tersebut,” tambahnya. – MalaysiaGazette