KUALA LUMPUR- Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia melonjak kepada 5.1 peratus pada 2024 (2023: 3.6 peratus), melebihi unjuran awal Kerajaan sebanyak 4- hingga 5% yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, defisit fiskal bagi tahun 2024 juga bertambah baik kepada 4.1 peratus berbanding lima peratus pada 2023.
Angka itu juga mengatasi sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu 4.3 peratus.
Kementerian Kewangan menjelaskan, prestasi memberangsangkan itu didorong oleh peningkatan penggunaan swasta kepada 5.7 peratus, peningkatan pelaburan kepada 17 peratus, jumlah dagangan naik sebanyak dua peratus kepada RM2.88 trilion serta aliran masuk pelaburan asing (FDI) bersih sebanyak RM47.7 bilion (2023: RM40.4 bilion).
“Penunjuk sokongan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk inflasi menyederhana kepada lapan peratus (2023: 2.5 peratus); dan kadar pengangguran yang rendah pada tiga peratus (2023: 3.4 peratus) dengan trend menurun kepada 3.1 peratus pada Disember 2024, terendah dalam tempoh 10 tahun.
Dalam kenyataan yang sama Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan itu dicapai melalui usaha bersepadu kerajaan Madani dan industri.
Menjelang tahun 2025, Kerajaan MADANI kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi 2025, kerajaan mensasarkan pertumbuhan ekonomi antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus didorong oleh limpahan yang lebih besar daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek infrastruktur kritikal dan pemangkin serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.
Di bawah Belanjawan 2025, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan secara kolektif telah bertekad untuk melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR- uP).
Selain itu, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam dijangka akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi.
Namun begitu, permintaan luaran yang lebih lemah daripada rakan dagang utama, peningkatan ketegangan geopolitik dan langkah-langkah perlindungan perdagangan boleh mendatangkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi.
Bagi tahun 2024, penambahan pinjaman bersih Kerajaan menurun kepada RM76.8 bilion, pengurangan ketara berbanding RM92.6 bilion pada tahun 2023.
“Kerajaan MADANI komited untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan utama dalam pelbagai bidang untuk mengukuhkan kemampanan fiskal jangka masa panjang melalui langkah-langkah penyasaran subsidi, kutipan hasil yang dipertingkatkan dan rangka kerja fiskal yang lebih kukuh.
“Usaha ini selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu mengurangkan defisit fiskal kepada 3% dalam jangka masa sederhana untuk kemampanan kewangan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette