Tangkap layar video yang tular memaparkan sebuah kereta ditahan di kawasan lampu isyarat Kluang Mall di Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang lelaki yang melarikan diri memandu kereta sejauh kilometer semasa dikejar polis berjaya diberkas di kawasan lampu isyarat Kluang Mall di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berkenaan yang berusia 40-an ditahan dan pemeriksaan menemukan sejumlah dadah jenis heroin dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata, insiden itu yang tular dalam media sosial bermula pada pukul 9 pagi selepas pihak polis melihat kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di persimpangan Jalan Haji Manan.

“Pemandunya gagal memberikan kerjasama ketika hendak diperiksa pegawai polis cawangan peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Kereta berkenaan kemudian melarikan diri dan pihak polis berjaya menahannya di kawasan lampu isyarat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes berkenaan katanya, disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 44(2) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Esok pagi suspek akan ditahan reman di Mahkamah Majistret Batu Pahat bawah kesalahan dadah,” ujarnya.

Terdahulu tular beberapa video dalam media sosial memaparkan kereta Honda Accord warna kuning itu dipandu laju sebelum terbabas melanggar dua buah kereta di lampu isyarat.

Kereta berkenaan kemudian dikepung tiga MPV polis sebelum lima anggota polis keluar dan menahan suspek.

Dalam ruangan komen, pengguna media sosial rata-rata memuji tindakan polis sehingga suspek berjaya ditangkap.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here