Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri menunjukkan suspek yang diberkas dipercayai terbabit dalam kes samun peniaga kalung bunga di anjung sebuah rumah di Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah, pada 28 Januari lalu. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 FEBRUARI 2025.

TELUK INTAN – Polis berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes samun peniaga kalung bunga di anjung sebuah rumah di Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah pada 28 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek ditahan di tepi Jalan Sungai Manik sekitar pukul 10 malam pada 5 Februari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bekas pekerja bengkel tunda kereta itu mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes kecurian kabel di Chui Chak dan narkotik pada 2024.

“Siasatan lanjut turut mendapati suspek juga dipercayai terlibat dengan samun melibatkan seorang wanita di Jalan Kampung Banjar di sini pada pukul 5 pagi hari yang sama.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di leher akibat pergelutan ketika suspek meragut rantai emas mangsa.

“Kedua-dua kes berkenaan masing-masing melibatkan kerugian RM10,000 dan RM18,000.

“Susulan kedua-dua kejadian itu, suspek direman sejak 6 Februari lalu sehingga kini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga emas berusia 65 tahun telah menjadi mangsa ragut ketika sedang bekerja menjual kalung bunga di depan rumahnya di Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah di sini.

Ahmad Adnan dilaporkan berkata, mangsa didatangi suspek lelaki disyaki telah berpura-pura memintanya membuatkan kalungan bunga untuk dibeli oleh suspek.

Katanya, semasa mangsa sedang membuat kalungan bunga tersebut, suspek telah masuk mendekati mangsa dari arah belakang dan terus meragut seutas rantai emas yang dipakai oleh mangsa sehinga berlaku pergelutan antara mereka.

“Akibat pergelutan itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher, tangan, kaki dan pinggul,” ujarnya.

Kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi 4 minit 22 saat memaparkan seorang lelaki meragut wanita warta emas di anjung sebuah rumah pagi 28 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here