PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti beberapa individu dipercayai menyebarkan berita palsu mengenai Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, ia berhubung dakwaan kononnya Majlis Raja-Raja membuat undian bagi mengambil tindakan terhadap kerajaan disebabkan ingkar perintah laksana titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Pihak MCMC dan PDRM telah mengenal pasti sejumlah individu yang telah terlibat memulakan berita palsu ini yang memang bersifat 3R.
“Pihak MCMC dan PDRM akan ambil tindakan terhadap mereka serta mana-mana pihak lain yang turut menulakan, menyebarkan berita palsu yang melibatkan raja-raja,” katanya dalam sidang media mingguan di kementeriannya hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sendiri tidak hadir dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan baru-baru ini dan undian tersebut juga tidak tepat.
“Sekiranya ada sebarang undian pun hanya raja pemerintah, raja yang berdaulat yang berhak untuk mengundi dalam sidang tersebut.
“Dari gambar yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim mengenai Majlis Raja-Raja yang baru berlangsung, kita boleh lihat bahawa tuanku sendiri tidak hadir bermaksud tidak ada sembilan undian maka untuk mana-mana pihak membuat satu berita palsu menyatakan ada undian 7-2 bermaksud ada sembilan raja yang mengundi,” katanya dalam sidang media sama.
Terdahulu tular tangkap layar dalam aplikasi WhatsApp yang mendakwa Majlis Raja-Raja membuat undian untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan PH-BN kerana ingkar melaksanakan titah adendum. – MalaysiaGazette