Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Malaysia komited mendapatkan semula aset yang diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meskipun berlaku perkembangan terkini di Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkembangan itu tidak menjejaskan usaha mendapatkan semula dana yang diseleweng dari syarikat pelaburan strategik negara.

Memetik laporan FMT, beliau berkata, kerajaan tetap komited terhadap usaha pemulihan aset berkaitan skandal 1MDB.

“Malah sekarang, Malaysia sedang giat melibatkan diri dan bekerjasama dengan pelbagai negara dan agensi untuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB,” kata beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Sebelum ini, wartawan dan pengarang, Tom Wright dilaporkan berkata, penggantungan undang-undang kerajaan AS yang melarang rasuah pegawai asing mungkin akan menghalang usaha kerajaan mendapatkan pampasan daripada Goldman Sachs.

Dalam catatan di X, Wright, pengarang bersama Billion Dollar Whale, sebuah buku yang mengisahkan skandal 1MDB menulis: “Tiada peluang sekarang untuk Malaysia mendapat berbilion-bilion daripada Goldman”.

Wright mengeluarkan kenyataan itu selepas Presiden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif membekukan Akta Amalan Rasuah Asing.

Johari berkata, pertikaian dengan Goldman Sachs berhubung jaminan pemulihan aset AS$1.4 bilion yang diberikan oleh bank pelaburan yang berpangkalan di New York itu sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian yang dimeterai dengan kerajaan, kini berada di bawah timbang tara.

“Kedua-dua pihak, Goldman Sachs dan kerajaan Malaysia, telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada bidang kuasa timbang tara.

“Oleh itu, keputusan muktamad mengenai pembayaran akan ditentukan oleh penimbang tara yang mengendalikan arbitrasi ini,” kata Johari.

Penyelesaian itu yang ditandatangani pada Ogos 2020 telah menyaksikan bank tersebut membuat pembayaran tunai AS$2.5 bilion (RM11.5 bilion) kepada kerajaan.

“Apa yang menjadi pertikaian pada masa ini ialah jaminan pemulihan aset AS$1.4 bilion, kerana Goldman Sachs mengambil pendirian bahawa Malaysia telah memperoleh lebih banyak daripada jumlah yang dijamin daripada denda yang dikenakan ke atas pelbagai pihak, satu perbalahan yang tidak dipersetujui oleh Malaysia,” ujarnya.

Beliau juga berkata kerajaan sedang melihat kemungkinan `mengambil tindakan undang-undang terhadap tujuh bank antarabangsa yang memudahkan transaksi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.’

CBS News melaporkan bahawa perintah eksekutif telah menangguhkan semua penyiasatan selama 180 hari sementara menunggu semakan.

Pada November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Goldman Sachs menghormati penyelesaiannya dengan kerajaan Malaysia berhubung peranannya dalam skandal 1MDB.

Johari sebelum ini dipetik sebagai berkata perjanjian penyelesaian yang kurang jelas dimeterai semasa pentadbiran terdahulu membolehkan bank itu mengelak sepenuhnya daripada tanggungjawabnya kepada kerajaan.

Beliau berkata bank pelaburan yang berpangkalan di New York itu telah mengambil kesempatan daripada dokumen yang kurang jelas berkenaan untuk mengetepikan jaminan pemulihan aset yang diberikan kepada kerajaan di bawah perjanjian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here