BANGKOK- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra pada Jumaat mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan ketua-ketua agensi keselamatan untuk menilai keadaan di perbandaran Myawaddy, hab utama yang dikenal pasti untuk rangkaian pemerdagangan manusia di Myanmar.
Paetongtarn berkata mesyuarat itu membincangkan pelbagai aspek keselamatan dan keselamatan awam termasuk bencana alam, penipuan pusat panggilan, pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia.
Mesyuarat itu didorong oleh laporan mengenai cabaran teruk di perbandaran Myawaddy selepas Thailand memotong bekalan elektrik, petrol dan akses Internet ke lima lokasi, termasuk Myawaddy, pada 5 Feb.
Antara yang menghadiri mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Phumtham Wechayachai, Timbalan Menteri Pertahanan Jeneral Natthapong Nakpanich, Panglima Tentera Darat Jeneral Pana Klaewplodthuk, Panglima Tentera Laut Laksamana Jirapol Wongwit, Panglima Tentera Udara Punpakdee Pattanakul, dan Pesuruhjaya Polis Jeneral, Pol Jen Kitrat Phanphet.
“Usaha kolektif mereka telah menyelesaikan banyak masalah dengan berkesan,” katanya di akaun rasmi Xnya pada Jumaat.
Bagaimanapun, Paetongtarn menyatakan bahawa beberapa isu yang berterusan memerlukan usaha dan kerjasama yang berterusan dan bersasar dalam kalangan semua pihak yang terlibat.
Beliau menekankan bahawa isu yang paling mendesak ialah penipuan pusat panggilan, yang terus mengancam nyawa rakyat Thailand, dan menekankan komitmen kerajaan untuk menangani masalah ini dengan segera.
Namun, saya telah menggesa Jawatankuasa Dasar Sempadan untuk memperluas pelan tindakan dengan lebih berkesan serta mengemukakan laporan kemajuan dalam tempoh satu bulan,” katanya.
Pada Rabu, pihak berkuasa Myanmar telah menyerahkan 261 mangsa asing sindiket penipuan pusat panggilan yang diselamatkan di Myawaddy kepada Thailand untuk dihantar pulang. Antara mereka ialah 15 rakyat Malaysia.
— BERNAMA