JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang saksi pendakwaan kerana memberi keterangan palsu di mahkamah.
Menurut sumber, saksi pendakwaan lelaki yang berusia 35 tahun merupakan seorang kontraktor telah ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Mersing kira-kira pukul 9 malam tadi.
Difahamkan, suspek merupakan saksi pendakwaan ke-12 telah memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail yang mana tidak selaras dengan pernyataan yang diberikan sebelum ini kepada pegawai penyiasat SPRM pada tahun tahun 2022 dan 2024.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit. Kes disiasat di bawah Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 8.30 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman. – MalaysiaGazette