Syed Hamadah (tengah) ketika menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian penyediaan penerbangan jemaah haji Malaysia. TH diwakili oleh Mohd Hisham Harun (kiri) dan Saudia Airlines diwakili oleh Amer G Alghamdi (kanan). Foto Tabung Haji

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai perjanjian dengan Saudia Airlines (Saudia) bagi menyediakan penerbangan sewa khas untuk membawa jemaah haji negara ke tanah suci untuk tempoh lima tahun bermula 2025 sehingga 2029.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kerjasama yang sudah terjalin sebelum ini diperkukuhkan lagi dengan kontrak baharu bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi penerbangan jemaah haji negara.

“TH berkeyakinan syarikat Saudia dapat membantu TH dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan terbaik demi keselesaan dan kelancaran perjalanan para jemaah haji. Atas dasar itu, kami meneruskan kerjasama untuk jangka panjang kerana syarikat ini telah menunjukkan rekod prestasi yang cemerlang pada musim-musim haji sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Syed Hamadah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara TH bersama syarikat penerbangan berkenaan di Menara TH, di sini hari ini.

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun. Manakala, Saudia diwakili oleh Pengurus Besar, Pengurusan Hasil dan Jualan, Haji dan Umrah, Amer G Alghamdi.

Menurut kenyataan itu, bagi musim haji 1446H/2025M, Saudia Airlines akan menyediakan sebanyak 45 penerbangan pergi dan balik dengan kapasiti penumpang sebanyak 357 orang bagi setiap pesawat untuk menerbangkan sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 bakal haji secara berperingkat.

Kesemua penerbangan sewa khas ini akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarbangsa Prince Mohammad Abdulaziz di Madinah.

Penerbangan pertama dijadualkan pada 29 April 2025.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here