Ahli VVIP berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Impian untuk mendaki hingga ke puncak Gunung Kinabalu menjadi mimpi ramai rakyat Malaysia.

Ramai yang memasang azam untuk mendaki gunung tertinggi di negara ini namun tidak ramai yang mampu merealisasikan impian mereka.

Malah mereka yang berjaya mendaki hingga tiba di puncak Gunung Kinabalu memang dikira insan yang cukup bertuah.

Baru-baru ini, VVIP (Very Very Inspiring People) Hikers yang terdiri daripada 15 pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dan pegawai daripada Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang yang berjaya menyelesaikan misi pendakian hingga puncak Gunung Kinabalu.

Selain itu, peserta ekspedisi itu turut disertai isteri kepada mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin iaitu Puan Sri Nisa Bakri dan anak beliau Norjunita serta dua doktor, Dr Akashah Ismail dan Dr Kaamani.

Bagi Nisa yang juga seorang cef mengucapkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana akhirnya berjaya merealisasikan impian untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu.

“Pencapaian ini cukup istimewa buat diri sendiri dan saya mahu memberi inspirasi juga kepada semua untuk merealisasikan mimpi hingga menjadi kenyataan.

“Kami berjaya melakukannya” katanya baru-baru ini.

Bermula dengan memasang impian dan mimpi serta hasil kerja keras penuh semangat berpasukan akhirnya kumpulan VVIP Hikers berjaya mencapai misi menawan puncak Gunung Kinabalu.

Nisa bersama rakannya di pucak Gunung Kinabalu baru-baru ini.

Dalam kesibukan tugas profesional masing-masing dan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan wanita, VVIP Hikers berjaya membuktikan ia tidak menghalang mereka untuk menjayakan misi pendakian hingga ke puncak Gunung Kinabalu ini.

Sepanjang pendakian hingga ke puncak gunung, mereka dapat melihat betapa indahnya alam.

Walaupun berdepan dengan kecederaan namun dengan berbekalkan semangat juang yang tinggi, tolong menolong antara ahli kumpulan secara berpasukan dan keinginan yang cukup tinggi untuk merealisasikan mimpi agar menjadi reality.

Menurut Nisa, VVIP Hikers wajar menjadi inspirasi kepada semua khususnya golongan wanita agar terus memasang impian untuk sekurang-kurangnya sekali seumur hidup untuk menawan hingga ke puncak Gunung Kinabalu.

Menurutnya, walaupun mereka bukan aktif bersukan namun iltizam menjadikan mereka berjaya menakluk Gunung Kinabalu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada suami saya dan isteri Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Aida Yaakub kerana memberi semangat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here