Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bakal haji berumur 65 tahun ke atas serta individu yang dikategorikan berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih mengikut janji temu yang ditetapkan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bagi memastikan kelancaran program itu, senarai 247 klinik kesihatan telah dikenal pasti di seluruh negara dan boleh diakses melalui aplikasi MySejahtera atau di laman rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) di www.tabunghaji.gov.my.

Menurutnya, janji temu bagi vaksin Covid-19 boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari (semalam) dan individu boleh mendapatkan suntikan bermula 17 Februari ini (Isnin).

“Notifikasi peringatan janji temu juga akan dihantar melalui aplikasi MySejahtera sehari sebelum tarikh janji temu.

“Bakal haji yang dalam kumpulan sasar boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara sukarela di fasiliti kesihatan berkaitan setelah mendapat konsultasi daripada pegawai perubatan,” katanya.

Tambahnya, bakal haji berumur 65 tahun ke atas serta individu berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza di mana-mana fasiliti awam yang tersenarai dalam aplikasi MySejahtera atau fasiliti swasta yang boleh memuat naik Sijil Digital Vaksinasi ke aplikasi MySejahtera.

Katanya, selaras dengan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini, bakal haji warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih.

Jelasnya, janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari (semalam) dengan tarikh janji temu akan diberikan bermula 18 Februari ini (Selasa).

“KKM akan terus bekerjasama dengan TH dengan memastikan pelaksanaan Perkhidmatan Vaksinasi Bakal Haji 1446H/2025M berjalan dengan lancar.

“Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan maklumat terkini dan panduan berkaitan vaksinasi kepada bakal haji boleh diajukan kepada KKM atau TH,” katanya.

Selaras dengan ketetapan Kerajaan Arab Saudi, semua bakal haji diwajibkan untuk menerima suntikan vaksin Meningococcal manakala vaksin Covid-19 dan vaksin influenza turut diwajibkan kepada kumpulan sasar tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here