Muhd Firdaus Azharuddin

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Muhd Firdaus Azharuddin meninggalkan agensi ini setelah tamat tempoh perkhidmatannya.

Beliau yang telah memulakan pucuk pimpinannya di INSKEN sejak tahun 2017 akan mengejar impian baharu setelah lapan tahun mencurahkan bakti dengan agensi di Bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Sepanjang kepimpinan beliau, Firdaus melaksanakan mandat serta tanggungjawab yang diberikan dengan baik dan sering mengutamakan aspek pembangunan keusahawanan terutamanya dari kategori mikro serta informal.

INSKEN di bawah kendaliannya turut menyaksikan impak keberhasilan program yang luar biasa serta pelbagai inisiatif baharu juga diperkenalkan.

Peningkatan hasil jualan bagi Program Bimbingan INSKEN iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu adalah antara sumbangan terbesar beliau kepada ekonomi negara.

Kedua-dua program ini mencatatkan peningkatan hasil jualan hampir RM101 juta ketika di bawah kepimpinannya melalui modul-modul bimbingan yang dirangka bagi memastikan usahawan dapat mencapai KPI yang ditetapkan.

Selain itu, 1,134 pekerjaan baharu tercipta dan 130 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil.

Melihat kepada keberhasilan program ini, beliau adalah tulang belakang utama yang memastikan Program IBBC wajib dilaksanakan kerana ia mampu memajukan perniagaan usahawan ke peringkat lebih tinggi.

Pada permulaan pandemik Covid-19, INSKEN merupakan agensi pertama yang menawarkan inisiatif program latihan secara atas talian dan ia julung kalinya dilaksanakan tanpa sebarang pengalaman sebelum itu.

Keprihatinannya dengan nasib usahawan terbukti apabila beliau mencetuskan inisiatif Program INSKEN BizLive dan pelbagai program latihan keusahawanan demi menghulurkan bantuan dari segi ilmu kepada usahawan yang ketika itu dalam kebuntuan.

Hasilnya, 155 INSKEN Bizlive dilaksanakan dan memberi manfaat kepada usahawan di seluruh Malaysia yang memerlukan ilmu keusahawanan ketika itu terutamanya dalam memastikan kelangsungan perniagaan dan tidak gulung tikar ketika pandemik.

Bagi memastikan usahawan di Sabah dan Sarawak juga diberi tumpuan serta menerima manfaat dari INSKEN, Firdaus mengambil langkah bijak dengan membuka cawangan INSKEN di Sabah dan Sarawak pada tahun 2023.

Selain itu, beliau juga sering turun padang untuk bertemu dengan usahawan termasuklah berkongsi ilmu kepimpinan yang perlu diterapkan dalam perniagaan.

Kegigihan dan usahanya mendapat perhatian sehingga beliau menerima Anugerah 100 Top CEO 2022 di bawah kategori Special Leadership Award bagi Agensi Kerajaan (Pembangunan Usahawan Mikro dan Informal).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here