KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan perintah gag order berkaitan kes titah adendum sebagai tindakan `licik’ Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menutup kesilapan mereka dalam perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, gag order itu adalah satu permohonan yang bertentangan dengan prinsip asas perundangan dan kehakiman.
Ini kerana, jelas beliau, pada asasnya, tidak ada keperluan atau undang-undang yang menghalang perbincangan mana-mana perkara sama ada di dalam atau di luar mahkamah selagi ia dijalankan mengikut lunas perundangan dan kehakiman.
“Pada saya kenapa mereka (AGC) membuat permohonan gag order ini bukan sebenarnya bagi tujuan menjaga kesucian prosiding, tetapi lebih kepada untuk menutup kealpaan dan kekhilafan AGC sendiri,” katanya.
Beliau berucap pada sesi TownHall Rakyat Mencari Kebenaran: To Gag Or Not To Gag, Whats The Order yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.
Sesi yang dikendalikan peguam yang juga aktivis sosial, Kamarudin Ahmad itu turut dibarisi peguam kanan, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan pakar geostrategis, Prof. Azmi Hassan sebagai ahli panel.
Tambah Mohamed Haniff, permohonan gag order oleh AGC itu juga tidak akan membantu prosiding kes di mahkamah memandangkan ia tidak ada kena-mengena dengan kewujudan fizikal titah adendum.
“Jadi kenapa nak gag order berkaitan dengan wujud atau tidak wujud, siapa bagi tak wujud, siapa tak dedah? Saya tak lihat ada legal atau judicial reason to gag.
“Sebab dari sudut perundangannya, kaluau nak gag order atau perintah perlindungan atau tutup mulut ini, ia biasanya adalah untuk menentukan perbicaaraan itu tak tergugat.
“Tetapi bagaimana perbicaraan itu boleh tergugat melalui gag order sedangkan isu dedah atau tidak dedah (titah adendum) bukan isu di hadapan Mahkamah Tinggi,” katanya.
Terdahulu, AGC pada 20 Januari lalu mengesahkan sudah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengeluarkan perintah gag order yang melarang mana-mana pihak daripada membincangkan isu berkaitan kes titah adendum.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan dilaporkan media berkata, permohonan gag order itu sudah difailkan melalui e-Filing.
Pada 13 Januari lalu, Shamsul memberitahu media, pihaknya akan memfailkan permohonan itu dengan alasan untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R). – MalaysiaGazette