KUALA LUMPUR – Hajat seorang ibu untuk menunaikan umrah bersama keluarganya tidak kesampaian selepas menjadi mangsa penipuan syarikat umrah.
Mangsa, Zainab Zaiha, 43, berkata, niatnya untuk membawa keluarga ke Tanah Suci bukan sekadar beribadah tetapi juga untuk menunaikan nazar selepas anaknya, Daniel Faiz yang berjaya dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Salah satu tujuan saya nak pergi umrah adalah untuk bayar nazar. Sebulan sebelum SPM, anak saya mengalami masalah kesihatan yang serius iaitu apendiksnya pecah.
“Dia terpaksa menjalani dua kali pembedahan dalam masa 10 hari dan doktor kata dia mungkin tak dapat menduduki peperiksaan serta terpaksa tangguh ke tahun hadapan,” katanya ketika sidang media kes penipuan umrah di Putrajaya hari ini.
Menurut Zainab, Daniel pada awalnya menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, Perak sebelum dipindahkan ke hospital lain bagi rawatan lanjut.
Bagaimanapun, cahaya matanya itu mengalami komplikasi usus menyebabkannya memerlukan satu lagi pembedahan.
“Alhamdulillah, dia pulih dan dapat menduduki SPM di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seperti biasa yang membuatkan saya tekad untuk tunaikan hasrat saya namun impian saya musnah.
“Saya mengalami kerugian hampir RM30,000 dengan dijanjikan syarikat berkenaan penerbangan dan penginapan yang selesa tapi bila tarikh semakin dekat, tiada visa, tiada tiket dan pihak syarikat langsung tak dapat dihubungi,” luahnya.
Sementara itu, Siti Suwaibah, 31, turut mengalami nasib sama apabila impiannya menunaikan umrah terkubur selepas menjadi mangsa penipuan syarikat umrah tersebut.
Menurutnya, dia mengambil masa lebih setahun untuk mengumpul wang dan akhirnya membuat bayaran penuh sebanyak RM11,000 pada Disember tahun lalu bagi menunaikan umrah bersama rakannya.
“Saya bekerja dari pagi hingga lewat malam, mengorbankan masa bersama keluarga demi merealisasikan impian ini. Saya percaya dengan janji-janji manis mereka tetapi semuanya hancur begitu saja.
“Saya sudah membeli semua keperluan umrah. Keluarga dari jauh datang untuk menghantar saya tetapi akhirnya semuanya sia-sia.
“Lebih menyedihkan, saya berniat menunaikan umrah badal untuk arwah mentua tetapi hasrat itu tidak kesampaian,” luahnya.
Katanya, dia sepatutnya berlepas pada 14 Januari lalu namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang makluman mengenai penerbangan atau visa.
Bagaimanapun, sekiranya syarikat berkenaan tampil menunaikan janji dengan menyediakan tiket dan penginapan seperti dijanjikan, dia bersedia menarik laporan polis.
Namun sehingga kini, tiada sebarang usaha dilakukan oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Peguam desak kes penipuan umrah disiasat bawah Kanun Keseksaan