KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mahu Majlis Jalinan Muhibbah Madani sempena Tahun Baru Cina 2025 tidak dipolemikkan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee mengajak masyarakat bersama-sama menyokong usaha mengukuhkan keharmonian negara.
Majlis Jalinan Muhibbah Madani sempena Tahun Baru Cina yang akan berlangsung pada 16 Februari ini (esok) bertempat di Dewan Hokkiean, Klang, Selangor adalah program anjuran JAKIM dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO Islam seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Hidayah Centre Foundation (HCF) dan pihak berkuasa agama Islam Negeri iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Program seperti ini telah dianjurkan setiap tahun oleh JAKIM untuk menyantuni masyarakat yang menyambut Tahun Baru Cina selain memperkukuh ikatan perpaduan dan silaturrahim masyarakat majmuk di negara ini.
“Ia adalah sebahagian peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi hal ehwal Islam untuk menyebarkan rahmah dan mesej keharmonian kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette