LUMUT – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta semua pihak untuk tidak memperbesarkan isu berkaitan penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan yang didakwa melakukan gangguan seksual di sebuah hospital universiti pakar kanak-kanak yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mereka sepatutnya tidak mengeluarkan tohmahan dan menyebarkan kenyataan tanpa memeriksa latar belakang kes tersebut.
Menurutnya, setakat ini pihak kementerian telah menerima laporan berhubung perkara itu dan akan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak bertanggungjawab.
“Untuk peringkat ini kita minta supaya siasatan seperti mana yang dilaporkan itu dibuat bukan semata-mata membabitkan ketua jabatan yang berkenaan, tetapi juga ke atas individu (doktor pakar) yang dituduh itu.
“Saya sudah pun minta laporan, yang mana ini lanjutan daripada kononnya pihak ketua jabatan yang berkenaan memecat seorang doktor pakar di hospital… Seolah-olah menganggap kita tidak mengambil tindakan.
“Saya juga ingin memberi nasihat supaya apabila membuat sesuatu hantaran, pastikan supaya maklumat itu benar-benar tepat.
“Kalau tidak nanti ia akan menimbulkan lebih banyak masalah termasuk juga soal untuk menjaga maruah dan aib seseorang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan perasmian program Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP) Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kampung Tengah, Pangkor di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod dan Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim.
Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial mempersoalkan tindakan pengarah hospital berkenaan yang mengeluarkan arahan penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan di hospital tersebut.
Pempengaruh wanita terbabit mengeluarkan kenyataan itu menerusi laman media sosial X yang telah menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat terhadap universiti berkenaan serta kementerian. – MalaysiaGazette