GEORGE TOWN – Koperasi Maritim Berhad (KMB) dengan kerjasama ECG Capital Sdn. Bhd. memperkenalkan pelan keahlian TemanCare Maritim yang menawarkan lima manfaat dalam satu untuk para peserta, sempena ulang tahun ke-20 Maritim Malaysia (APMM).
Ketua Pegawai Eksekutif ECG Capital, Asward Mahadzir berkata, pelan ini adalah satu inisiatif untuk menghargai sumbangan besar anggota dan warga kerja Maritim Malaysia yang selama ini berkorban dalam menjaga keselamatan perairan negara.
Jelasnya, pelan keahlian TemanCare Maritim itu memberikan perlindungan takaful hayat sehingga RM200,000, diskaun rawatan pesakit luar di lebih 4,000 klinik swasta, perkhidmatan konsultasi doktor dan kaunseling secara dalam talian, diskaun pembelian di rangkaian niaga terpilih serta ganjaran gaya hidup sihat kepada semua ahli.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG_5207-1024x773.jpeg)
“Melalui TemanCare Maritim, kami memperkenalkan pelan yang memberi pelbagai manfaat walaupun ketika ahli dalam keadaan sihat.
“Selain itu, mereka juga akan mendapat pampasan kewangan melalui perlindungan takaful sekiranya menghadapi musibah atau kemalangan yang tidak dijangka,” katanya pada sesi pra-pelancaran program di Karnival Maritim Perkasa 2025.
Pelancaran program ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Rosli Abdullah bersama Pengerusi Lembaga KMB, Datuk Ibrahim Mohamed.
Tambah Asward, keahlian TemanCare Maritim terbuka kepada lebih 8,000 warga kerja APMM, pasangan, anak-anak serta orang awam, supaya mereka dapat menikmati pelbagai manfaat eksklusif yang disediakan. – MalaysiaGazette