GEORGE TOWN – Siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Selangor pada 24 Januari lalu dilakukan pelbagai sudut termasuk Posedur Operasi Standar (SOP) penggunaan senjata api ketika kejadian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis juga menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada wujud pelanggaran undang-undang ketika pasukan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) menjalankan tugasan.
“Berdasarkan siasatan serta tangkapan terhadap transporter yang dilakukan pihak polis mendapati kejadian itu membabitkan kes penyeludupan migran.
“Kejadian tersebut berlaku pada pukul 3 pagi di tengah laut, di mana risiko ancaman nyawa terhadap anggota APMM adalah tinggi.
“Malah penggunaan senjata api dan prosedur SOP akan diteliti dalam siasatan ini. Saya akan berikan makluman lanjut perkembangan ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Dua Dekat Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan cubaan menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan parang yang sedang melakukan rondaan, punca lima lelaki warga asing ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting.
Saifuddin Nasution berkata, radar APMM mengesan terdapat ‘kontak curiga’ di dalam kawasan perairan negara, sebelum pasukan penguat kuasa membuat pintasan serta memberi amaran menggunakan pelaung suara namun tidak dihiraukan.
“APMM kemudian mengejar bot itu yang kemudian cuba melanggar enjin bot APMM dan kerana perbuatan melanggar itulah, maka tembakan amaran dilepaskan ke udara, namun bot itu tidak berhenti dan dalam keadaan begitu, APMM kemudiannya menyasarkan (tembakan) pada bahagian enjin bot berkenaan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, polis menyiasat kes berkenaan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Selain itu, katanya, APMM turut menjalankan siasatan dalaman dan semua anggota pasukan yang terlibat dalam insiden berkenaan, direhatkan daripada tugas buat sementara waktu. – MalaysiaGazette