Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali

KUALA NERUS – Pasukan Terengganu FC (TFC) mengakui peluang untuk berada dalam kelompok tiga teratas Liga Super semakin sukar setelah tewas tipis 1-2 di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) malam tadi.

Ketua jurulatihnya Badrul Afzan Razali berkata kekalahan itu menyebabkan skuad Penyu kehilangan tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri.

Beliau berkata ketumpulan penyudah masih menjadi masalah utama di bahagian serangan menyebabkan banyak peluang gol disia-siakan begitu sahaja.

“Kita mula dengan agak perlahan terutama pada separuh masa pertama. Banyak kesilapan yang kita lakukan menyebabkan kita dihukum dengan gol kedua pada minit-minit akhir perlawanan.

“Pada babak kedua, kita bangkit menyerang dan mencipta banyak peluang, tetapi sekali lagi masalah ketumpulan penyudah menghantui pasukan kami,” katanya selepas perlawanan Liga Super menentang KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam tadi.

Bagaimanapun, pengendali berusia 49 tahun itu enggan berputus asa dan menggesa anak buahnya bangkit pada perlawanan menentang Kuching City FC di SSMZA pada 21 Feb.

“Walaupun sukar kita masih ada peluang untuk mencabar kedudukan Sabah FC di tempat ketiga liga. Tetapi, dengan syarat pemain perlu bangkit dan tidak ulangi kesilapan seperti malam ini (malam tadi),” katanya.

Sementara itu, pengendali KL City FC Miroslav Kuljanac berkata kejayaan malam tadi amat bermakna dan menjadi pencetus semangat buat pasukannya yang telah melalui beberapa perlawanan tanpa kemenangan.

Pujian harus diberikan kepada anak buahnya yang telah mempamer semangat juang tinggi walaupun ketinggalan satu gol pada awal babak permainan.

“Ia perlawanan yang menarik dan mendebarkan. Kedua-dua pasukan telah memberikan persembahan terbaik mereka. Mungkin kami bernasib baik malam ini … kami menang selepas kecundang dalam beberapa perlawanan.

“Saya perlu mengucapkan tahniah kepada para pemain. Mereka telah menunjukkan semangat juang. Saya harap kami mampu terus mengekalkan rentak ini dalam perlawanan seterusnya,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here