KUALA LUMPUR – Ketiga-tiga anak arwah bekas wartawan Kosmo dan Utusan Malaysia, Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia petang semalam telah diberikan kebebasan untuk memilih dengan siapa mereka hendak tinggal selepas ini.
Adik Allahyarham, Siti Salha Abu Bakar setakat ini belum ada apa-apa keputusan muktamad dibuat kerana memberi masa kepada ketiga-tiga anak saudaranya berfikir.
Ketiga-tiga anak Allahyarham yang berusia 15, 13 dan 10 tahun kini menjadi yatim piatu selepas kematian Basir.
Ibu mereka, Allayarhamah Noor Azlina Jaafar meninggal dunia pada 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Namun kata Siti Salha, beliau kagum melihat ketabahan ketiga-tiga anak itu menghadapi saat paling sukar dalam kehidupan mereka selepas kehilangan ibu dan ayah dalam masa begitu singkat.

Nur Iman Zahra menyiram pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras. Foto HARI ANGGARA, 16 FEBUARI 2025.
“Kami sudah bincang dengan anak-anak arwah. Kita beri mereka pilihan, sama ada mahu pergi bersama kami atau sebelah arwah kakak ipar. Kami beri mereka masa, jika mereka tidak mampu buat keputusan kita akan tolong berikan pandangan terbaik.
“Anak-anak sedih tapi mereka sangat kuat, tabah hadapi saat sukar ini. Abah mereka sudah ajar berdikari sejak kehilangan arwah ibu mereka, kesemua anak-anak ini sudah hidup berdikari, jaga mereka memang tidak susah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras di sini hari ini.
Allahyarham selamat dikebumikan di sini dengan kehadirian kira-kira 200 orang termasuk saudara-mara dan rakan-rakan dalam industri media.
Sebelum itu, beliau telah dimandikan dan dikafankan di Masjid Taming Jaya, Balakong selepas semua urusan di Hospital Serdang selesai sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Muhammad Basir yang juga pemenang Hadiah Kewartawanan 2005 (Institut Akhbar Malaysia) meninggal dunia selepas mengalami masalah jantung dan disahkan mengalami beberapa komplikasi lain termasuk hati dan buah pinggang.
Allahyarham pernah bertugas di akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia sebelum syarikat Utusan Melayu Bhd ditutup pada 9 Oktober 2019.
Isteri beliau, Allahyarham Noor Azlina Jaafar yang juga bekas Jurufoto Utusan meninggal dunia pada Oktober 2023.

Dalam pada itu, Siti Salha berkata, arwah abangnya tidak menunjukkan apa-apa kelainan ketika beliau melawat abangnya di rumahnya di Seri Kembangan di sini dua minggu lepas.
“Dua minggu sebelum ini saya ada ziarah abang di rumah, masa itu arwah nampak pucat tapi dia kata dia sihat dan tidak perlu ke hospital.
“Masa itu kami fikir dia ok, dia bercerita tentang masalah kereta dan perkara-perkara kecil. Tapi isu kesihatan memang arwah tidak bercakap.
“Kita tidak tahu sampailah ke tahap kritikal. Saya tidak tahu dia kemurungan, makan tidak jaga, keadaan kesihatan dia merosot,” ujarnya.
Siti Salha juga memohon kepada semua pihak untuk memaafkan arwah abangnya andai ada kata terkasar bahasa atau dengan tidak sengaja melukakan sesiapa.
“Jika abang saya ada terkasar bahasa atau lukakan mana-mana pihak, kami sekeluarga mohon baik. Arwah seorang yang sangat baik dan sangat lembut perwatakkannya malah untuk saya sendiri, dia adalah seorang abang yang baik.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang datang, bantu hingga saat akhir, uruskan semua pengebumian berjalan dengan lancar. Arwah pergi dengan aman. Tidak ada apa-apa kekurangan,” katanya penuh emosi. – MalaysiaGazette