BATU PAHAT – Lima warga asing termasuk suspek utama yang disyaki menikam rakan sekerja dengan pisau hingga maut, dilanjutkan tempoh reman tujuh hari.
Perintah lanjutan tempoh reman dikeluarkan Majistret Arun Noval Dass di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap kelima-lima suspek berusia 22 hingga 27 tahun bermula esok sehingga Ahad ini.
Ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas seorang pekerja kilang warga asing berusia 30 tahun ditemui mati akibat ditikam oleh rakan sekerja di asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Sri Gading, di sini, pada 9 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu tercetus daripada provokasi membabitkan sekumpulan pekerja warga asing, pada pukul 11.30 malam.
Beliau berkata, suspek bekerja sebagai operator kilang ditikam beberapa kali di badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil bedah siasat oleh pakar patologi forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan dalaman akibat ditikam objek tajam.
“Dalam kejadian ini, suspek utama berusia 24 tahun ditahan bersama empat yang lain bagi membantu siasatan berhubung insiden ini.
“Pada masa sama, polis turut menemui senjata digunakan dan barang kes itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, lelaki warga Nepal ditemui mati selepas ditikam rakan sekerja dalam satu pergaduhan.- MalaysiaGazette