KLUANG – Aksi wheelie dua remaja tidak sampai ke mana apabila mereka ditahan polis di Kilometer 83.9 Jalan Kluang-Kota Tinggi di sini dalam Operasi Samseng Jalanan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemeriksaan ujian air kencing terhadap kedua-duanya yang berusia 15 dan 16 tahun mendapatinya negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di atas jalan raya secara melulu dan membahayakan kepada pengguna lain.
“Selain itu, dalam operasi selama empat jam bermula 10 malam tadi dan berakhir pukul 2 pagi tadi, 17 motosikal diperiksa dan sebanyak 14 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan trafik.
“Sepanjang tempoh itu, 21 orang telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette