KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berpandangan kerajaan perlu meneruskan pelaksanaan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Menurutnya, garis panduan itu tidak semestinya menjadi mandatori kepada orang bukan Islam, tetapi menjadi hak bagi orang Islam untuk mematuhinya.
Jelas beliau, orang Islam perlu mempunyai garis panduan seperti itu supaya mereka dapat menjaga akidah, manakala orang bukan Islam sekurang-kurangnya juga maklum apa yang boleh dan tidak boleh dalam perkara tersebut.
“Kenapa mahu dijadikan masalah dan polemik? Bukankah hak orang Islam untuk tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dalam soal hukum-hakam agama mereka.
“Maka tidak timbul orang bukan Islam kecil hati jika ada acara agama yang orang Islam tidak hadir. Mereka juga tidak perlu menjemput orang Islam hadir ke majlis agama tersebut jika ia tidak sesuai kepada orang Islam.
“Sebab itu mana logiknya kewujudan garis panduan memecah belah dan meyekat keharmonian kaum? Walhal garis panduan itu yang membantu semua pihak untuk lebih sensitif,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Puad turut bersetuju dengan pandangan Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron yang menyifatkan garis panduan tersebut bukan sahaja penting untuk menjaga seorang Muslim tetapi melibatkan masyarakat bukan Islam dalam memastikan keharmonian bersama.
“Hujah Mufti Trengganu tepat sekali. Garis panduan bertujuan memupuk rasa hormat-menghormati antara kaum dan mengelakkan salah faham dalam isu berkaitan agama.
“Garis panduan itu berkaitan urusan agama. Tidak berkaitan isu perayaan seperti jamuan rumah terbuka Tahun Baru Cina,” katanya.
Isu berkenaan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain itu sebelum ini mencetuskan polemik selepas dibantah beberapa pihak termasuk kalangan pemimpin bukan Islam.
Ia turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tiada keperluan untuk garis panduan seumpama itu dibuat dan menegaskan umat Islam sebaliknya hanya perlu menjaga akidah dan mematuhi peraturan agama yang sudah ditetapkan. – Malaysiagazette