KLUANG – Persatuan Komuniti Satu Hati Kluang tampil membantu ibu bapa di Taman Ilham dan sekitarnya melakukan persiapan akhir dengan memberikan khidmat percuma menggunting rambut sempena pembukaan sesi persekolahan 2025 yang bermula esok.
Bantuan yang disertakan dengan pelbagai perkhidmatan lain serta permainan e-sukan itu berjaya menarik ratusan kedatangan orang ramai yang membawa anak-anak mereka bagi tujuan mendapatkan khidmat percuma itu.
Pengerusi Persatuan Komuniti Satu Hati Kluang, Muhammad Suhaid Mustakim Yahya berkata, walaupun program itu merupakan anjuran pertama pihaknya selepas ditubuhkan hujung tahun lalu, tidak menyangka mendapat maklum balas menggalakkan daripada penduduk setempat khususnya Taman Ilham.
Katanya, antara khidmat yang disediakan melalui program itu adalah pemeriksaan kesihatan percuma oleh sebuah klinik swasta, pameran aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), gerai jualan, permainan e-sukan dan menggunting rambut percuma.
“Alhamdulilah, khidmat yang diberikan sejak awal pagi hingga petang tadi mendapat sambutan orang ramai khususnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah.
“Dengan adanya sambutan seperti ini, ia akan memberikan kami semangat untuk mengembangkan khidmat komuniti ini kepada keseluruhan masyarakat di dalam bandar Kluang ini pada masa-masa akan datang,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Komuniti Satu Hati di Dewan Sharifah Azizah di Taman Ilham hari ini.
Menurutnya, antara perkara yang sudah dalam perancangan pihaknya adalah majlis perkahwinan beramai-ramai pada Ogos ini.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Prihatin Kluang (YPK), Datuk Md Jais Sarday berkata, khidmat komuniti yang disediakan oleh kumpulan anak-anak muda ini harus diberikan sokongan oleh semua pihak di daerah ini.
“Ini kerana mereka mempunyai daya usaha sendiri tanpa mengharapkan pihak lain untuk bergerak menabur bakti kepada orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette