SEJAK menubuhkan kerajaan atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15 pada 19 November 2022, kerajaan hari ini telah menyatakan hasrat murni untuk memartabatkan integriti dalam pemerintahan menerusi iltizam untuk memerangi amalan rasuah secara habis-habisan, menerapkan budaya tatakelola dan urus tadbir yang baik, serta mempraktikkan pengurusan kewangan yang telus dan berhemah. Sewajarnya, hasrat murni kerajaan ini dihayati sepenuhnya oleh semua peringkat agensi dan organisasi (termasuk badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan); seterusnya diterjemahkan menerusi amalan kerja yang beretika dan menonjolkan nilai-nilai integriti yang tinggi dalam keseluruhan warga kerja yang terlibat.
Keperluan membudayakan amalan kerja berintegriti ini menjadi lebih kritikal dalam persekitaran institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang berperanan membangunkan generasi modal insan hadapan negara; namun, apakah perkara ini benar-benar berlaku dalam situasi semasa? Dalam erti kata lain, adakah hasrat murni kerajaan ini – dalam konteks pendidikan tinggi negara – suatu realiti atau fantasi?
Menelusuri sejarah pengurusan institusi-institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) sedekad terkebelakang, terlalu banyak insiden-insiden melibatkan kepemimpinan tertinggi yang mencetuskan pelbagai persoalan tentang amalan integriti dalam institusi-institusi ini secara menyeluruh. Salah satu faktor penyumbang utama yang dikenal pasti kepada senario ini adalah amalan berterusan lantikan politik dalam pengurusan tertinggi sesebuah IPTA di negara ini.
Amalan membuat lantikan sebegini telah mengakibatkan wujud ‘rejim’ pengurusan organisasi yang mengenepikan sepenuhnya nilai integriti dalam tatakelola seharian, dan hanya mementingkan agenda ‘tersendiri’ mereka tercapai. Oleh kerana kesemua IPTA (20 buah) tempatan merupakan badan-badan berkanun di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diberi autonomi dalam kebanyakan fungsi, kewujudan ‘rejim lantikan politik’ ini menyebabkan berleluasanya amalan tidak berintegriti dalam institusi tersebut, selagi mana ‘rejim’ ini dikekalkan untuk suatu tempoh lama yang bakal merugikan institusi tersebut dalam jangka masa panjang.
Antara contoh amalan tidak berintegriti yang sering berlaku adalah salah guna kuasa atau rasuah melibatkan aktiviti kewangan dan perolehan sumber, manipulasi pelantikan jawatan-jawatan pentadbiran dalaman, serta salah guna aset institusi untuk tujuan bermotifkan politik, dan sebagainya. Dalam hal ini, prinsip Machiavellinism diguna pakai sewenang-wenangnya oleh ‘rejim lantikan politik’ ini, di mana ‘matlamat menghalalkan cara’ menjadi prinsip tatakelola dan pengurusan organisasi, manakala amalan integriti dipinggirkan secara total.
Natijahnya, pelbagai skandal melibatkan individu-individu pengurusan tertinggi IPTA yang didedahkan di pelbagai platform media arus perdana mahupun media-media sosial sedikit sebanyak telah mencemarkan imej pendidikan tinggi negara. Daripada kes-kes salah guna kuasa dan rasuah yang mengakibatkan individu-individu terbabit disiasat agensi penguatkuasaan dan dituduh di bawah sistem perundangan negara sehinggalah kepada pemecatan individu-individu pengurusan tertinggi yang dibuat atas sebab-sebab tertentu, semua ini memberi tempias yang negatif kepada sisi perkembangan positif pendidikan tinggi negara.
Oleh kerana individu-individu terlibat dilantik menerusi saluran politik, adakalanya mereka juga ‘diselamatkan’ secara politik menerusi gerak kerja-gerak kerja seperti memindahkan mereka ke kementerian ataupun agensi-agensi di bawah kementerian; namun, tindakan ini bukanlah suatu perkara yang sihat dan bermanfaat untuk kesinambungan pendidikan tinggi negara yang cemerlang. Justeru, sudah tiba masanya kaedah pelantikan pengurusan tertinggi IPTA dirombak secara keseluruhan dan tidak lagi berpaksikan politik semata-mata.
Suatu kaedah yang lebih telus melibatkan jawatankuasa pencarian calon yang lebih bebas (seperti diamalkan universiti-universiti tersohor di negara-negara maju) atau melibatkan pemilihan calon yang disokong akar umbi universiti tersebut berpotensi untuk dipertimbangkan. Mungkin juga saranan agar had memegang jawatan pengurusan tertinggi sesebuah IPTA ditetapkan untuk tempoh tertentu dikuatkuasakan segera agar pihak-pihak yang bakal dilantik sedar amanah yang dipertanggungjawabkan untuk tempoh tersebut adalah untuk memajukan institusi dan bukannya untuk menjarah institusi sewenang-wenangnya.
Syukurlah dalam struktur organisasi IPTA di negara ini, kesemua 20 IPTA tersebut masih dinaungi oleh institusi Raja-Raja Melayu yang tidak boleh diganggu gugat oleh sistem politik kepartian. Dalam keadaan yang mendesak, sejarah membuktikan bahawa kebijaksanaan Raja-Raja Melayu (sebagai Canselor) seringkali menjadi benteng ampuh untuk mengekalkan fungsi universiti-universiti awam tempatan ini daripada cuba dirosakkan oleh ‘petualang-petualang’ politik dengan pelbagai jawatan yang disandang ini.
Tentu kita masih ingat tentang cubaan seorang ahli politik (berjawatan Menteri) untuk menukar nama sebuah IPTA tempatan tanpa merafak sembah perkenan Tuanku Canselor institusi tersebut, menyebabkan cadangan tersebut ditolak mentah-mentah. Selain itu, sebagaimana lazimnya, semua pelantikan barisan pengurusan tertinggi IPTA perlu mendapat perkenan Canselor institusi-institusi tersebut, yang mana individu-individu yang tidak diperkenan akan ditolak walaupun nama-namanya diutarakan Menteri KPT. Mungkin juga sudah tiba masanya dipertimbangkan agar lantikan barisan pengurusan tertinggi IPTA digantikan dengan lantikan diraja, sepertimana pelantikan pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengekang semua institusi pendidikan tinggi tempatan ini terus-terusan cuba dirosakkan ‘kartel’ yang memegang kuasa politik.
Hasrat mengukuhkan amalan integriti sejujurnya bukanlah hasrat kerajaan hari ini sahaja. Pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) lebih dua dekad lalu pada bulan April 2004 membuktikan bahawa agenda memperkukuh integriti warganegara Malaysia merupakan agenda nasional dan bukannya bersifat politik kepartian. Tuntasnya, iltizam sejati ini harus sejajar dengan realiti amalan yang dipraktikkan dalam organisasi kerajaan khasnya, dan seluruh warga Malaysia amnya. Bagi merealisasikan matlamat melahirkan generasi masa hadapan negara yang berintegriti secara menyeluruh, semua IPTA tempatan tidak wajar dijadikan medan atau gelanggang untuk para ‘petualang politik’ bermaharajalela memimpin dan mengurus sewenang-
wenangnya, tanpa memiliki kefahaman tuntas tentang makna amalan integriti (dalam pengurusan dan tatakelola organisasi) yang sebenarnya.
Dr. Abu Yazid Abu Bakar
Profesor Madya (Bimbingan & Kaunseling / Psikologi)
Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia