Datuk N Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil dan Persatuan Hindu Malaysia (Mahima) menggesa kerajaan agar mengambil tindakan segera terhadap isu-isu perkauman yang berpotensi menggugat perpaduan negara, tanpa menunggu laporan rasmi daripada rakyat.

Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar berkata, insiden papan tanda jualan jagung yang menggunakan kata-kata kesat terhadap kaum India yang tular baru-baru ini adalah bukti masih ada individu yang menyalahgunakan sentimen perkauman demi kepentingan peribadi.

“Saya pelik walaupun negara ini semakin maju dengan teknologi canggih, masih ada individu yang berfikiran cetek dan tidak bertamadun. Mereka sengaja mencetuskan ketegangan kaum untuk mendapatkan publisiti murah dan melariskan jualan.

“Ini bukan perkara baharu, tetapi hingga kini masih tiada tindakan tegas terhadap pelaku-pelaku seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Perbuatan gugat keharmonian kaum, agama perlu dinoktahkan – Aaron

Sivakumar juga melahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan tindakan pihak berkuasa dan Kementerian Perpaduan Negara dalam menangani isu-isu perkauman.

“Persoalannya, berapa banyak lagi kes seperti ini yang perlu berlaku sebelum tindakan diambil? Mengapa pihak berkuasa hanya bertindak selepas aduan rasmi dibuat? Adakah mereka tidak membaca media sosial atau tidak menyedari apa yang berlaku di negara ini?” soalnya.

Beliau berpendapat erajaan harus lebih proaktif dan tidak hanya bergantung kepada laporan rakyat.

Sebaliknya, satu mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan lebih kukuh perlu diwujudkan bagi menangani isu-isu sensitiviti perkauman dengan lebih berkesan.

Sivakumar mencadangkan agar Kementerian Perpaduan Negara mewujudkan Penguatkuasa Keharmonian, iaitu satu badan khas yang diberi kuasa untuk bertindak terhadap mana-mana individu atau pihak yang mencetuskan ketegangan kaum.

“Tugas penguatkuasa ini bukan sekadar memantau tetapi juga mengambil tindakan segera terhadap mereka yang menimbulkan isu-isu sensitiviti perkauman. Menteri dan Timbalan Menteri harus membawa cadangan ini ke Parlimen dan menggubal undang-undang bagi menjamin keharmonian negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here