KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda MIC Bahagian Sepang membuat laporan polis terhadap seorang peniaga yang meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja jualan jagung bakarnya di Kota Warisan, Sepang semalam.
Pengerusi Tetap MIC Bahagian Sepang, Datuk V Gunalan, menyifatkan tindakan peniaga tersebut tidak mencerminkan nilai perpaduan rakyat Malaysia dan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.
“Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum yang harus saling menghormati. Kepelbagaian budaya dan adat merupakan aset berharga negara dan sebarang tindakan berbaur rasis serta ekstremisme hanya akan merosakkan keharmonian yang telah lama terbina.
“Saya sendiri tidak faham bagaimana ada segelintir seperti golongan yang boleh bertindak secara perkauman di sebuah negara yang terkenal dengan pelbagai kaum, bangsa, agama dan hidup dalam masyarakat majmuk selama berpuluh tahun.
“Tindakan tegas serta pemahaman berbentuk kesedaran perlu dilaksanakan supaya isu seumpama ini tidak berlaku sehingga ada pihak mengambil kesempatan meniup api kebencian antara kita, hentikanlah perbuatan sia-sia ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataannya semalam berkata, sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama tidak boleh diterima atau dikompromi.
Gunalan yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat berkata, pada hakikatnya kerajaan tidak bersetuju dengan sebarang bentuk perkauman yang boleh menggugat perpaduan rakyat.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial menunjukkan seorang penjaja tepi jalan meletakkan notis berbaur perkauman di gerai jualan jagung bakarnya.
Notis tersebut berbunyi: “Sorry, ini jagung tiada jual sama orang keling.”
Video berkenaan dipercayai dirakam seorang wanita India pada Jumaat lalu.
Istilah ‘keling’ dalam notis tersebut dianggap sebagai penghinaan terhadap masyarakat India di negara ini.
Sementara itu, Gunalan menuntut agar peniaga terbabit segera memohon maaf kepada masyarakat India dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, termasuk membatalkan lesen perniagaannya yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Sepang. – MalaysiaGazette