PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) sedia untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual diadakan tahun ini.
Setiausaha PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya terbuka untuk menerima parti yang boleh menerima konsep dan ideologi gabungan tersebut.
“Proses ini masih berjalan dan belum dimuktamadkan tetapi perkembangannya baik kerana kita yakin gabungan parti-parti ini penting untuk mendapat satu persefahaman dalam pilihan raya itu nanti.
“PN akan berbincang dengan semua pihak yang bersedia untuk bekerjasama dengan PN dan sentiasa ambil sikap yang terbuka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan lagu, uniform baharu dan Sri Peguam di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini.
Hadir sama adalah Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Azmin berkata, PN sudah mengambil ketetapan untuk bertanding dalam PRN Sabah yang akan datang.
Katanya, PN sudah memberi mandat kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee untuk mengetuai pasukan PN di Sabah.
“PN sedang mengadakan rundingan dengan semua pemegang taruh di Sabah, termasuk parti politik dan organisasi bukan kerajaan (NGO), kerana kita mahu melihat lonjakan besar dalam PRN ini.
“Proses ini masih berjalan dan belum dimuktamadkan, tetapi perkembangannya positif kerana kita yakin gabungan parti-parti ini penting untuk mencapai persefahaman yang lebih kukuh dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Sebelum ini, Bersatu dilaporkan mungkin bertanding lebih 18 kerusi pada PRN Sabah. – MalaysiaGazette