PETALING JAYA – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak kenyataan kemungkinan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut pada hujung tahun ini sebagai gimik politik.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kenyataan beliau tersebut merujuk kepada seruan agar jentera parti membuat persiapan awal sekiranya berlaku pilihan raya mengejut pada bila-bila masa.
“Ini bukan gimik tapi persiapan awal. Bukan gimik, ini betul-betul.
“Persiapan jentera yang berat, saya mahu beritahu setiap Ketua Bahagian, dan rakyat siap sedia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan lagu, uniform baharu dan Sri Peguam di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini.
Hadir sama adalah Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Azmin berkata demikian merujuk kepada kenyataan PKR Johor yang menyifatkan kenyataan Azmin sebagai satu gimik politik.
Awal hari ini, Naib Pengerusi Keadilan Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, PRU mengejut yang dinyatakan Azmin tidak akan berlaku malah rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas sendiri tidak ‘melayannya’.
Azmin sebelum ini turut berkata perkara itu antara ditegaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua jentera parti mesti digerakkan sekarang.
Ia dizahirkan Muhyiddin dalam satu perbincangan khas dalam kalangan pimpinan tertinggi Bersatu dan Pas pada 5 Februari lalu yang turut dihadiri oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang. – MalaysiaGazette