BATU PAHAT – Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek berpendapat MCA tetap berdepan laluan politik yang berliku walaupun tahap sokongan kepada DAP dijangka menyusut pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, DAP mendapat sokongan 90 peratus pengundi Cina pada pilihan raya umum yang lalu, yang membolehkan parti pesaing MCA itu mempunyai 40 Ahli Parlimen dan 90 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Katanya, semasa berada di puncak pada 2004, MCA hanya mempunyai 32 Ahli Parlimen dan 76 ADUN.
“Walaupun orang Cina kini kurang berpuas hati dengan DAP, malahan berpendapat tidak harus memberi peluang kepadanya, tetapi keadaan ini hanya mengurangkan sedikit sokongan kepada DAP.
“Mungkin tahap sokongan akan menurun daripada 90 peratus kepada 75 peratus. MCA masih sukar untuk melonjak,” katanya seperti dipetik China Press.
Soi Lek pada masa yang sama memberi pujian kepada beberapa pemimpin DAP, terutamanya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
“Anthony merupakan satu-satunya pemimpin tertinggi DAP yang tidak cakap bukan-bukan, tetapi hanya mengutarakan fakta.
“Beliau tidak bermain politik dan sikapnya yang profesional juga mendapat sokongan pegawai Melayu,” katanya.
Soi Lek berkata, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong juga mempunyai pandangan yang bernas untuk sesetengah isu.
“Walaupun ada yang berpendapat beliau terlalu berteori dan bercakap panjang lebar, tetapi sekurang-kurangnya apa yang diutarakan adalah berasas dan beliau tidak mensensasikan isu,” katanya.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, MCA perlu berprofil tinggi dan memainkan peranan sebagai penyemak dan pengimbang supaya orang ramai menyedari kewujudannya.
“Jentera parti haruslah senada dan memanfaatkan pejabat publisiti yang ada. Apabila pusat bersuara dalam isu tertentu, MCA negeri dan bahagian harus memberi sokongan senada.
“Jangan sampai hanya beberapa pemimpin yang mengeluarkan kenyataan secara kadangkala untuk menunjukkan diri sebagai wira,” katanya.
Kata Soi Lek, ahli-ahli MCA bersemangat rendah sejak dilanda kekalahan teruk pada 2022.
“Walaupun kini menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan, tetapi MCA seakan-akan bukan sebahagian daripada kerajaan kerana tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan pusat.
“Yang ada cumalah jawatan dalam kerajaan negeri Johor dan Melaka selain menjadi ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung,” katanya.