kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempercepatkan penggubalan dan pelaksanaan akta pembiayaan politik yang disifatkan langkah penting dalam memastikan politik negara bebas daripada pengaruh wang tidak telus yang berpotensi merosakkan sistem demokrasi negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, akta pembiayaan politik yang komprehensif juga boleh meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang mana negara ketika ini berada pada kedudukan ke-57.

Ini kerana, jelas beliau, salah satu faktor yang dinilai di dalam CPI adalah ketelusan dalam pembiayaan politik dan keupayaan sesebuah negara mengawal pengaruh kewangan terhadap proses demokrasi.

“Dengan adanya akta ini, Malaysia dapat menunjukkan komitmen terhadap integriti politik dan mengurangkan kebimbangan berkaitan politik wang, dana gelap, serta penderma berkepentingan yang boleh mempengaruhi dasar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Penggubalan Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan dengan memfokuskan kepada pendanaan ketika kempen pilihan raya.

Menurut beliau, cadangan itu sudah diutarakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan undang-undang tersebut disifatkan sangat ideal ketika ini memandangkan beberapa siri pilihan raya akan bermula tidak lama lagi.

Tambah Jais, ketelusan dalam pembiayaan politik memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi antarabangsa terhadap integriti sistem politik Malaysia.

Katanya, negara-negara dengan kawalan ketat terhadap pembiayaan politik seperti Jerman dan Kanada juga sering mendapat skor tinggi dalam CPI.

“Sebaliknya, negara yang gagal mengawal pembiayaan politik sering dikaitkan dengan politik kleptokrasi dan budaya kronisme.

“Oleh itu, ketelusan yang lebih tinggi bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelabur asing tetapi juga mengukuhkan reputasi Malaysia di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Jais menambah, akta pembiayaan politik itu kelak perlu merangkumi beberapa aspek utama bagi memastikan ia berkesan dalam mengurangkan risiko rasuah.

Antaranya, kata beliau, semua parti politik dan calon pada pilihan raya wajib mengisytiharkan sumber dana mereka, termasuk sumbangan daripada individu, syarikat atau badan asing.

Selain itu, tambahnya, had maksimum juga perlu ditetapkan bagi sumbangan yang boleh diterima dan jumlah perbelanjaan semasa kempen pilihan raya.

“Untuk mengelakkan campur tangan luar dalam politik negara, sebarang bentuk pembiayaan daripada pihak luar negara harus dilarang.

“(Selain itu) Parti dan calon mesti melaporkan secara berkala bagaimana dana mereka digunakan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan transaksi mencurigakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here