KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berpandangan Tan Sri Terrirudin Ahmad tidak perlu direhatkan daripada jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Ini kerana kata beliau yang juga seorang peguam, daripada sudut amalan guaman, Terrirudin hanya perlu dikecualikan (recused) daripada mendengar kes titah adendum.
“Adalah tidak munasabah untuk beliau mempengaruhi keputusan kes adendum kerana badan kehakiman hari ini dilihat sebuah badan yang bebas.
“Maka, apa jua keputusan berkaitan kes titah adendum pasti didengar dan diputuskan secara adil dan luar pengaruh,” katanya dalam catatan ringkas menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, peguam kanan, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican mencadangkan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat merehatkan Terrirudin yang juga bekas Peguam Negara (AG) daripada jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga kes mahkamah berkaitan titah adendum selesai.
Ini kerana, menurutnya, terdapat persoalan serius berhubung kredibiliti, ketelusan dan integiriti melibatkan Terrirudin bersabit kes titah adendum terbabit.
Antaranya kata Hasnal Rezua Merican, Terrirudin disifatkan tidak mengambil keputusan yang sepatutnya sebagai AG ketika menerima titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Antaranya, kata Hasnal Rezua Merican, Terrirudin seolah-olah membiarkan satu dokumen yang mempunyai implikasi undang-undang tidak dizahirkan sehinggalah Najib memfailkan permohonan bagi mencabar titah adendum tersebut di mahkamah.
Selain itu, ujarnya, Terrirudin juga dinilai tidak memberi nasihat kepada Menteri Dalam Negeri untuk menjawab berkenaan isu titah adendum tersebut di Parlimen sehingga menteri berkenaan disifatkan telah memberi jawapan mengelirukan apabila menyebut titah adendum tersebut hanya khabar angin (hearsay).
Selain itu, tambahnya, ketika prosiding kes itu memasuki ke peringkat Mahkamah Rayuan juga, Terrirudin tidak menyatakan menerusi affidavit kepada mahkamah bahawa titah adendum tersebut wujud atau sebaliknya. – MalaysiaGazette