Jimmy Puah

JOHOR BAHRU – Tiada mana-mana pihak dalam parti yang boleh menghalang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipertandingkan pada pemilihan parti tersebut Mei ini.

Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya mengalu-alukan dua jawatan tersebut dipertandingkan.

“Sesiapa pun boleh tanding dalam pemilihan parti. Kita tidak boleh halang sesiapa (yang mahu bertanding jawatan tersebut), apa yang penting sekali kena dengar suara ahli anggota parti,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Tebrau bersama PKR Johor di Cathay Eco Spring, Tebrau di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Taufiq Ismail dan Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR perlu dipertandingkan atau tidak, pada pemilihan parti Mei ini.

Sebagai Presiden PKR katanya, beliau menghormati demokrasi dalam parti dan tidak mahu mencampuri urusan berkenaan.

Sementara itu, Wee Tse menyatakan hasrat untuk bertanding Ketua Cabang PKR Tebrau pada kali ini dan sedia melepaskan jawatan Ketua Cabang PKR Pulai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here