SEPANG – Tiga rakyat Malaysia termasuk dua warga emas berjaya melengkapkan misi kembara berbasikal ke Tanah Suci Makkah sejauh 6,000 kilometer selama 127 hari, berbanding tempoh jangkaan awal enam bulan sebelum ini.
Misi Kembara Memburu Hikmah 4.0 yang diketuai Dahalan Yahaya, 71 dan adiknya Zam, 61 serta rakan baiknya, Ahmad Zulkifli Ahmad, 56 memulakan kayuhan dari Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2024, sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, di sini, hari ini.
Meskipun dua dari tiga pesertanya merupakan warga emas, masing-masing 71 dan 61 tahun, namun hasrat untuk menunaikan Umrah melalui jalan darat tercapai walaupun hanya mampu melakukan kayuhan basikal selama 115 hari sahaja.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-16-at-2.55.39-PM.jpeg)
Menurut Zam, ini kerana perjalanan merentas beberapa negara ada kalanya berdepan saat sukar termasuk atas faktor keselamatan hingga memaksa mereka bertiga menaiki pengangkutan awam seperti bas, feri dan keretapi.
“Contohnya di Pakistan, ada masalah keselamatan, polis suruh kita naik bas, jadi mereka iring kita, di Iran pun kita banyak naik bas sebab itu kita cepat.
“Di Saudi Arabia pun Alhamdulillah, cuma angin sahaja kuat sikit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Balai Ketibaan KLIA1, di sini, hari ini.
Sebelum ini, kos bagi menjayakan Misi Kembara Memburu Hikmah 4.0 sebahagiannya ditanggung oleh ketiga-tiga peserta sendiri, manakala selebih ditaja syarikat JS Innovations Comfort Resources menerusi Jeli Kolagen Sisik Ikan.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-16-at-2.55.39-PM-1.jpeg)
Pengasasnya, B.H.L Jack berkata, Jeli Sisik Ikan dapat membantu ketiga-tiga peserta kembara berbasikal itu untuk mengurangkan sakit sendi, lutut dan kaki khususnya ketika menunaikan ibadat Umrah dan solat.
“Jeli Sisik Ikan ini mengandungi 100 peratus kolagen ikan semulajadi yang juga membantu menyihatkan kulit dan menangani kesakitan sendi akibat penuaan,” katanya.
Selain itu, Zam berkata, kayuhan berbasikal ke Makkah itu diilhamkan daripada abangnya setelah melihat kejayaan pasangan suami isteri, Ahmad Mohd Isa, 36, dan Noradilah Mohd Sapie, 37, menunaikan ibadat Haji setelah mengembara selama 105 hari.
“Kalau kita nak selamat, kita ikut jalan sama dan kita nak rasa pengalaman itu, kita nak rasai pengalaman tidur di masjid, dalam 126 malam, hanya 15 hari kita tinggal di hotel, selebihnya kami tinggal di masjid, kebanyakannya di Thailand,” katanya.
Ketika menceritakan saat manis mengembara di negara asing, Zam agak teruja apabila mereka dipelawa masyarakat di Thailand, India, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bermalam di rumah penduduk sepanjang perjalanan.
“Tapi orang Pakistan, Bangladesh, India, dia bagi tempat duduk percuma, hebat-hebat pula, ada orang sewakan bilik. Manakala di Hofuf dan Ruwais, Saudi Arabia pula, ada orang sewakan bilik untuk kami menginap sampai seminggu,” katanya.
Lebih mengharukan apabila mereka dapat menemuni komuniti Malaysia di Ruwais, Saudi Arabia yang berkerja dalam sektor minyak dan gas yang terdiri daripada 320 orang sahaja.
“Setiap hari, lebih 200 penduduk datang bawa sarapan, makan tengah hari dan makan malam secara giliran hantar dekat rumah kita, saya memang tabik orang Malaysia di Ruwais.
“Tempat lain pun ada juga seperti di Abu Dhabi, Dhubai, Riyadh,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-16-at-2.55.38-PM.jpeg)
Dahalan pula berkata, layanan mesra yang diberikan penduduk tempatan di beberapa negara termasuk Pakistan, India, Myanmar dan Bangladesh merupakan pengalaman manis tidak dapat dilupakan.
“Selama ini kita tengok sebelah mata kepada pendatang asing seperti Myanmar,dan Pakistan, sebaliknya mereka cukup mesra layan kita dan semua pelancong dari Malaysia, kita kena ubah persepsi terhadap mereka.
“Ada lebih 5,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Abu Dhabi, mereka layan bukan kami sahaja bahkan semua pelancong Malaysia, semua mereka santuni sampai ada ajak duduk rumah mereka.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-16-at-2.55.36-PM.jpeg)
Sementara itu, Ahmad Zulkifli berkata, dia tidak menafikan kembara mereka berdepan saat getir termasuk kenderaan beroda dua itu mengalami kerosakan.
“Kita fikir sendiri, masa itu kita darurat, jauh dari bandar, jauh dari kedai, jadi kita buat fikir apa yang boleh, ikut yang apa yang ada di tepi jalan.
“Contoh brek patah, kita pakai dawai, macam spring brek patah pun, kalau nak ikutkan kena pergi kedai, kita guna getah tiub, kita balut bagi dia cengkam balik brek boleh guna beribu kilometer lagi.
“Kita buat DIY sendiri untuk teruskan perjalanan,” katanya.
Ketika ditanya tentang petua untuk kekal cergas dan bertenaga sepanjang kembara kayuhan berbasikal itu, Ahmad Zulkifli berkata, dia hanya perlu menjaga makan dan minum sahaja untuk kekal sihat.
“Makan cukup, minum cukup, itu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Zam tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan kembara berbasikal ke Yunan, China dengan jumlah peserta yang lebih besar.
“Kita nak pergi Kunming, Yunan di China. Di Yunan ada 16 juta penduduk orang Islam, ada lebih 800 masjid di Yunan, kita nak lawat mungkin 20-30 masjid di Yunan.
“Insya-allah kita akan pergi bertiga atau lebih besar sikit dengan basikal juga. Mungkin kali ini kita tak mula dengan Malaysia, tapi kita mula di Bangkok dan Loas,” katanya. – MalaysiaGazette